Bersyukurlah jadi Melayu, bangsa dunia yang hebat, kata Salleh

Salleh-Said-Keruak_melayu_600

PETALING JAYA: Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata sejumlah setengah bilion orang Melayu tersebar di seluruh dunia dari Australia ke Amerika Syarikat, dan berkata orang Melayu perlu bersyukur mereka tergolong sebahagian daripada mereka kerana mempunyai jati diri dan mengekalkan tradisi tidak kira di mana mereka berada.

“Sebagai bangsa Melayu, bersyukurlah dengan anugerah Allah ini. Kekalkan tradisi kehebatan ini supaya nasib bangsa ini tidak terjadi seperti tragedi yang menimpa bangsa Palestin, Syria, Afghanistan, Iraq dan Rohingya yang sedang bergelora dan ditindas di tanah air sendiri,” tulis bendahari Umno itu dalam catatan blog hari ini.

Katanya, diaspora Melayu mewakili 9% penduduk dunia, dan mereka terbukti berjaya kerana memiliki sifat jati diri dan kerajinan, seperti yang boleh dilihat dengan pelantikan orang Melayu untuk jawatan penting di negara lain.

Beliau memberi contoh Melayu Sri Lanka, Samara Vijayatungga dan Melayu Cape, Abdullah Kadi Abdus Salaam, di samping Melayu yang mula menetap di kawasan baharu seperti Datuk Mohd Aris Ahmad yang dilantik menjadi Datuk Bandar Winsford di England pada 1989, dan usahawan New York, Datuk Fathol Razak Abdul Rawak.

“Kehebatan diaspora bangsa ini diiktiraf dunia. Bangsa ini sudah mampu menjadi duta Melayu global untuk terus bersaing dengan bangsa-bangsa lain di peringkat antarabangsa,” kata menteri komunikasi dan multimedia itu.

Katanya, kehebatan diaspora Melayu adalah disebabkan sifat mereka yang rajin, berani dan berjiwa besar.

“Selain itu adalah faktor agama Islam, keterbukaan minda, pengamalan budaya dan bahasa Melayu yang turut menjadikan mereka hebat.”