Cuba mohon temujanji tapi Caltex tak layan, kata bekas pengusaha

caltex_0914_123

PETALING JAYA: Seorang bekas pengusaha stesen minyak yang ditamatkan kontrak operasi mengakui mereka tidak membuat temujanji dengan pihak pengurusan syarikat minyak gergasi Chevron Malaysia, lebih dikenali sebagai Caltex, kerana permohonan sebelum ini tidak dilayan.

“Kalau nak buat temujanji pun tak bagi macam mana? Berapa banyak surat sudah saya buat kepada Caltex untuk buat temujanji dengan mereka,” katanya kepada FMT hari ini.

Malam tadi dalam emel kepada FMT, Caltex menjelaskan mana-mana pengunjung perlu membuat temujanji terlebih dahulu sebelum tarikh mesyuarat.

Caltex berkata demikian selepas Fadzilah bersama sekumpulan 19 orang bekas pengusaha stesen minyak Caltex dan kakitangan mereka tampil ke ibu pejabat Caltex di Pusat Bandar Damansara hari ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai penamatan kontrak operasi mereka tetapi diminta pergi dari situ.

Menurut Caltex, Fadzilah tidak dapat bertemu pihak pengurusan kerana beliau tidak membuat sebarang temujanji.

“Itu temberang dia orang. Bila kita tulis surat untuk buat temujanji, dia orang senyap sahaja. Takkan nak hantar memorandum pun nak kena buat temujanji?” katanya.

Petang tadi, Fadzilah sempat menyerahkan memorandum kepada wakil syarikat itu dan memorandum itu meminta syarikat menjelaskan sebab utama mereka menamatkan operasi 15 pengusaha stesen minyak mereka dan meminta syarikat menjawab mengapa pihak atasan tidak mahu bertemu mereka.

Turut serta Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz dan Pengarah Unit Tindakan Khas Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi.

Caltex dalam dalam emel menegaskan, mulai 17 Julai 2017 syarikat tidak lagi mempunyai urusan perniagaan selanjutnya dengan bekas peruncit Caltex tersebut.

“Syarikat berhak untuk membenarkan pelawat yang dibenarkan untuk mengakses premis pejabat, dan terdapat protokol keselamatan yang harus diikuti.

“Sebagai sebahagian daripada operasi perniagaan biasa, syarikat akan, secara berterusan, membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan atau menamatkan kontrak peruncit. Di mana ini berlaku, sebagaimana baru-baru ini dengan beberapa peruncit, ia akan dijalankan mengikut kontrak perjanjian antara kedua pihak.”

Fadzilah bagaimanapun berkata kenyataan Caltex itu tidak membantu kepada usaha mencari penyelesaian antara mereka.

“Semakin jauh mereka menolak kami. Tindakan Caltex ini menyekat untuk mencari jalan penyelesaian. Tak apalah, kita lihat Rabu ini sama ada Caltex nak jawab atau tidak memorandum kita.”