Isteri tahanan mati dalam lokap minta bantuan Suhakam

Janagi-Nadarajah-Dr-Aishah-Bidin
N Janagi (tengah) menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Suhakam, Dr Aishah Bidin.

KUALA LUMPUR: Isteri seorang tahanan yang mati dalam lokap polis meminta bantuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyiasat punca kematian suaminya dan mengambil tindakan terhadap polis yang mengabaikan kesihatan mendiang.

Janagi Nadarajah, 40, memberitahu Pesuruhjaya Suhakam Dr Aishah Bidin bahawa dia meminta polis yang menahan suaminya, Benedict Thanilas, 44, agar mengurus suaminya yang sakit tenat.

“Saya memberitahu mereka, suami saya tenat dan tidak dapat bertahan dalam lokap tanpa penjagaan kesihatan yang betul.

“Tetapi mereka suruh saya menjaga keluarga di rumah, sementara mereka pula menjaga suami saya di lokap,” kata Janagi di pejabat Suhakam semasa menyerahkan memorandum.

Beliau diiringi penyelaras projek Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Mohammad Alshatri.

Janagi berkata, anggota polis perlu lebih mengetahui keadaan suaminya dan tidak membiarkannya sendirian di lokap.

Beliau memberitahu polis bekalan ubatan Benedict harus diberi tepat pada waktunya tetapi polis gagal berbuat demikian, walaupun pada awalnya mereka kata akan menjaganya.

Benedict ditemui tidak sedarkan diri di dalam lokap pada 10 Julai di Pusat Tahanan Jinjang dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 6.06 pagi.

Beliau menderita diabetes, tekanan darah tinggi dan masalah jantung yang memerlukannya mengambil 8 jenis ubat dan 4 suntikan insulin setiap hari.

Benedict dikatakan pernah menjalani pembedahan pintasan pada 2006 dan mengalami strok beberapa tahun kemudian yang membuatkannya sukar berjalan.

Ditanya oleh Aishah jika badan Benedict mempunyai kecederaan yang jelas, Janagi berkata terdapat beberapa lebam pada siku, buku lali dan kepala.

Bagaimanapun, Janagi dimaklumkan oleh doktor yang melakukan bedah siasat bahawa Benedict mengalami kecederaan itu akibat jatuh.

“Menurut rakaman CCTV yang disediakan oleh polis, suami saya dilihat pergi ke tandas 2 kali awal pagi itu dan setelah kembali untuk kali ke-2 dia kelihatan seperti sukar bernafas dan kemudiannya rebah.

“Doktor berkata, lebam itu akibat dia rebah dan tidak ada unsur penderaan fizikal,” kata Janagi.

Hasil bedah siasat awal menunjukkan Benedict meninggal dunia akibat “acute myocardial infarction” atau serangan jantung.

Beliau berkata menerima panggilan dari Benedict pada 7 Julai memberitahu bahawa dia akan dipindahkan ke ibu pejabat polis Sentul kerana kenyataannya akan direkodkan dan dia berasa demam dan sakit badan.

Suaram dalam memorandum tersebut meminta Suhakam menyiasat prosedur operasi standard terhadap penjagaan kesihatan tahanan, mendesak kerajaan untuk memastikan hak tahanan untuk mendapat penjagaan kesihatan yang betul dan antara lain menyokong seruan menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah laku Polis.

Benedict ditahan kerana disyaki mengedar dadah dan disoal siasat selama 12 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan sepatutnya ditahan selama 60 hari.

Sebelum itu, beliau ditangkap pada Mei 2016 apabila dia didapati bersalah memiliki dadah dan dipenjara selama 2 bulan di penjara Sungai Buloh tetapi tidak menyelesaikan hukumannya kerana sakit.

“Dia dimasukkan ke ICU kerana keadaan jantungnya dan hakim menggantikan hukuman penjara kepada denda RM3,000 atas rayuan keluarga,” kata Mohammad.