Kasta bawahan kini presiden India

ram-nath-kovindDELHI: India semalam memilih seorang presiden baharu daripada kasta bawahan Hindu, ketua negara ke-2 yang dipilih daripada golongan terpinggir sejak kemerdekaan negara itu.

Ram Nath Kovind memenangi jawatan adat istiadat itu dengan lebih 65% undi ahli parlimen dan dewan undangan negeri, kata suruhanjaya pilihan raya.

Bekas peguam dan gabenor negeri berusia 71 itu berasal dari masyarakat Dalit yang tertindas dan dicalonkan parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi untuk jawatan tersebut.

Penganalisis berkata pemilihan Kovind akan membantu Modi mengukuhkan cengkaman ke atas kekuasaan dan meraih modal politik dengan menghantar mesej kepada masyarakat Dalit, golongan pengundi yang sudah lama dihina dan digelar sebagai “tidak boleh disentuh”.

Parti pembangkang, Kongres, juga mengemukakan calon Dalit, bekas speaker Parlimen Meira Kumar.

Tetapi parti Modi, Bharatiya Janata, berjaya meraih undi kolej secukupnya untuk menaikkan calon mereka dan hasilnya memang dijangkakan.

“Tahniah kepada Shri Ram Nath Kovind Ji yang dipilih sebagai presiden India! Semoga berjaya untuk tempoh yang memberangsangkan dan berinspirasi,” tulis Modi di Twitter.

Kovind, dalam ucapan selepas diisytiharkan sebagai presiden berkata ia “saat yang beremosi”.

“Hujan turun sejak pagi di Delhi, dan ia mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak saya di kampung nenek moyang kami, di mana kami adik-beradik diarah duduk rapat-rapat keliling tembok untuk mengelakkan air dari bumbung yang bocor ketika hujan,” katanya.

“Walaupun hari ini negara kita mempunyai ramai Ram Nath Kovind yang bekerja ‘kais pagi makan pagi’ sebagai petani … berpeluh untuk mendapat sesuap nasi, saya ingin katakan pada mereka bahawa saya akan ke ‘rumah presiden’ sebagai wakil mereka.”

Perayaan besar diraikan di negeri kelahiran Kovind di Uttar Pradesh dengan paluan dram dan sorakan di seluruh bandar dan kampung.

Dalit, yang berjumlah kira-kira 200 juta orang daripada 1.3 bilion rakyat India, antara komuniti termiskin di India dan dipinggirkan masyarakat.

Walaupun terdapat perlindungan undang-undang namun diskriminasi terhadap komuniti itu berterusan dan mereka dinafikan akses kepada pendidikan dan peluang maju dalam bidang lain.

Kovind berkata pemilihannya sebagai pegawai tertinggi negara itu menggariskan kekuatan demokrasi India.

“Saya tidak pernah terfikir atau bercita-cita untuk memegang jawatan ini … Saya akan berusaha untuk melindungi perlembagaan India,” tambahnya.

Kovind akan mengangkat sumpah sebagai presiden ke-14 India pada Selasa, apabila tempoh penamatan jawatan Pranab Mukherjee sebagai presiden selama 5 tahun akan berakhir.

Perdana menteri India memegang kuasa eksekutif, tetapi presiden boleh menghantar semula rang undang-undang parlimen untuk dipertimbangkan semula dan memainkan peranan sebagai pembimbing dalam proses pembentukan kerajaan.