Kerajaan keluar SOP baru senjata api penguat kuasa

Apandi-Ali-senjata-apiPUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengeluarkan garis panduan terbaru penggunaan senjata api untuk penguat kuasa, susulan kematian seorang pegawai wanita Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dilanggar tonto di Kelantan, 9 bulan lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, ini adalah prosedur operasi standard (SOP) inovatif kerana ia tidak wujud sebelum ini.

“SOP dahulu hanya untuk menjaga senjata api, jadi tiada garis panduan jelas mengenai cara dan bila agensi penguat kuasa boleh menggunakannya,” katanya selepas Majlis Hari Raya di Jabatan Peguam Negara hari ini.

Beliau berkata, garis panduan yang berkuat kuasa hari ini, dirangka berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Mereka perlu mematuhinya atau boleh didakwa walaupun dibenarkan membawa senjata api.”

Apandi berkata, kebiasaannya pegawai penguat kuasa perlu memberi amaran terlebih dahulu sebelum melepaskan tembakan.

“Mereka hanya boleh menggunakannya apabila nyawa mereka dalam bahaya dan itu perlu menjadi pertimbangan.”

Dalam kejadian 7 Oktober lalu di Banggol Chicha, Pasir Mas, pegawai kastam berusia 54 tahun, Anisah Ali meninggal dunia 2 hari selepas beliau koma.

Ketika kejadian, mangsa bersama 2 anggota kastam dikatakan terserempak sebuah kenderaan pacuan 4 roda dalam keadaan mencurigakan dipercayai dinaiki penyeludup rokok.

Ketika mengejar kenderaan itu, datang lagi sebuah kenderaan dipercayai tonto yang menghimpit dan melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa sehingga menyebabkan ia terbabas dan melanggar pokok.

Polis berkata, Anisah meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dan komplikasi usus.

Terdahulu, selepas melancarkan garis panduan itu, Apandi menyerahkan salinan SOP itu kepada wakil agensi penguat kuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Apandi berkata, draf garis panduan itu dilakukan sebuah pasukan khas dari Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara sejak Disember lalu.

Katanya, keperluan untuk mempunyai garis panduan terbaru timbul selepas beliau melawat keluarga Anisah, November lalu.

“Saya kemudian meminta pengarah Kastam Kelantan memberi garis panduan sedia ada kepada saya. Selepas menelitinya, saya dapati garis panduan itu hanya mengenai cara menjaga senjata api,” katanya.