Lagi produk kopi Tongkat Ali ditarik balik di AS

Kopi-Jantan-TradisionalPETALING JAYA: Sebuah syarikat di Texas menarik balik produk “New of Kopi Jantan Tradisional Natural Herbs” selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan Tongkat Ali dalam produk itu.

The Washington Post melaporkan Kopi Bestherbs secara sukarela menarik balik semua produk itu yang dijual antara Julai 2014 hingga Jun 2016 kerana mengandungi bahan tidak diisytihar termasuk desmethyl carbodenafil, yang berstruktur serupa dengan sildenafil, bahan aktif dalam Viagra.

Walaupun Viagra adalah ubat preskripsi yang diluluskan FDA untuk merawat mati pucuk, agensi itu bagaimanapun bimbang dengan potensi desmethyl carbodenafil boleh menyebabkan tekanan darah turun ke “paras berbahaya”.

Dalam kenyataan yang dipetik akhbar itu, ia juga menyuarakan kebimbangan berhubung interaksi antara bahan itu dan nitrat yang didapati dalam ubat preskripsi seperti nitrogliserin.

“Lelaki yang menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau penyakit jantung sering mengambil nitrat,” kata FDA.

Pemilik Kopi Bestherbs, Albert Yee memberitahu Washington Post, beliau dijangka menerima ratusan hingga seribu pek produk itu daripada pelanggan selepas penarikan balik bermula minggu lepas.

Bagaimanapun, Yee dan FDA berkata, tiada pengguna berdepan masalah kesihatan berkaitan kopi itu.

Ini bukan kali pertama produk kopi yang mengandungi Tongkat Ali itu ditarik balik.

Mei lalu, pengedar kopi segera Caverflo.com secara sukarela menarik balik semua “kopi herba semula jadi” yang dikatakan mengandungi ekstrak Tongkat Ali berikutan laporan kematian seorang penggunanya.

FDA kemudiannya berkata, Caverflo.com menarik balik semua Kopi Herba Semula Jadi Caverflo dalam bungkusan kerajang 25gm, susulan analisis makmal FDA yang mengesahkan kehadiran sildenafil dan tadalafil dalam produk tersebut.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/28/pengguna-mati-kopi-tongkat-ali-ditarik-balik-dari-as/