Lagi warga Sri Lanka cetus kekacauan atas pesawat

srilanka-airasiaPETALING JAYA: Tiga lelaki warga Sri Lanka ditahan polis setibanya di Sabah kerana didakwa mencetuskan kekacauan di dalam pesawat AirAsia selepas meminum arak.

Oriental Daily melaporkan kejadian itu berlaku pada 10 Julai lalu dalam penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Sandakan, di mana 3 lelaki itu dikatakan mengganggu penumpang lain dan menolak anak kapal dalam pesawat.

Seorang wanita yang menjadi mangsa gangguan 3 suspek itu menceritakan pengalaman itu di Facebooknya.

Beliau berkata, 3 lelaki Sri Lanka itu mula mengacaunya dengan bersiul di balai menunggu, selepas melihat beliau bersendirian.

Ketika berada di dalam pesawat, katanya, 3 lelaki itu duduk di barisan bersebelahan dan seorang daripadanya terus mengganggu beliau dengan meletakkan patung beruang yang dibeli di kedai bebas cukai, di atas pehanya.

Tindakan itu menyebabkan wanita terbabit bangun daripada tidurnya dan segera memulangkan patung itu kepada mereka dan memberi amaran supaya tidak mengganggunya lagi.

Bagaimanapun, lelaki Sri Lanka itu bertegas mahu menghadiahkan patung berkenaan kepadanya dan kejadian itu kemudiannya disedari pramugara.

Wanita itu mendakwa seorang daripada suspek terbabit bertindak menolak kru berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati suspek ada minum arak di dalam pesawat.

Anak kapal AirAsia segera menghubungi kakitangan dan pengawal keselamatan di darat untuk menahan suspek selepas mereka mendarat di Lapangan Terbang Sandakan.

Wanita berkenaan mengucapkan terima kasih kepaa pramugara bernama Munesh dan tampil melindunginya dan menukar tempat duduk untuk beliau.

Isnin lalu, pesawat AirAsia Penerbangan AK379 yang sepatutnya berlepas dari Bali ke Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan, apabila seorang penumpang sekitar 40-an yang disyaki mengambil alkohol dan dadah sebelum menaiki pesawat, cuba menceroboh ruang kokpit sejurus sebelum pesawat berlepas dari lapangan terbang.

Pada 31 Mei lalu pula, pesawat Malaysia Airlines dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Tullamarine selepas seorang penumpang warga Sri Lanka yang didakwa mabuk, cuba menceroboh ruang kokpit Penerbangan MH128.

Manodh Marks, 25, yang dilaporkan mempunyai masalah mental berjaya dikawal anak kapal, selepas mengancam mahu meletupkan pesawat itu dengan bom yang kemudiannya disahkan hanya sebuah speaker.

Pada 2 Jun lalu, sebuah mahkamah di London mendapati seorang penumpang yang mabuk dalam pesawat A380 milik Malaysia Airlines pada Januari lalu, bersalah kerana cuba menyerang pramugari yang berhenti menghidangkan minuman keras untuknya.

Akhbar harian Britain, The Sun melaporkan, Maxine Williams yang mabuk selama 10 jam dalam penerbangan ke London itu, turut melemparkan kata-kata bersifat perkauman dan cuba menyerang pramugari Malaysia Airlines, Teoh Ming Lee, sambil menggunakan kata-kata makian dan mencarut.

Williams dilaporkan menjerit: “I hate your f***ing country” (Saya benci negara kamu) dan “You Malaysian pig!” (Babi kau orang Malaysia), sebelum kapten mengumumkan tindakan keselamatan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/18/penerbangan-airasia-dibatalkan-penumpang-cuba-ceroboh-kokpit/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/01/saya-mahu-letupkan-pesawat-ini-jerit-lelaki-dalam-penerbangan-malaysia-airlines/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/02/babi-kau-orang-malaysia-jerit-penumpang-mabuk-atas-pesawat/