Penyokong kuat Trump dilantik duta AS ke Singapura

Kathleen-Troia-McFarland_singapore_usa_600

PETALING JAYA: Pentadbiran Donald Trump bersetuju melantik Kathleen Troia McFarland, seorang penyokong parti Republikan dengan pandangan berhaluan kanan yang sebelum ini cuba menjadi calon untuk menjatuhkan Hillary Clinton sebagai senator New York.

Beliau menggantikan Kirk Wagar, seorang penyokong kuat bekas presiden Barack Obama, yang tamat perkhidmatan selepas kemenangan Trump pada Januari lalu.

McFarland merupakan penasihat keselamatan kepada Trump dan pernah bertugas di bawah kepimpinan Ronald Reagan.

Beliau terkenal dengan pandangan konservatif mengenai dasar pertahanan Amerika Syarikat, dan berkongsi pandangan Trump dalam pelbagai perkara termasuk membantah perjanjian nuklear bersama Iran yang ditandatangani Obama.

Sebelum dilantik ke dalam pentadbiran Trump, beliau merupakan penganalisis hal ehwal keselamatan untuk Fox News, rangkaian televisyen berhaluan kanan yang cenderung kepada polisi Republikan.

Selepas pelantikannya sebagai duta besar AS ke Singapura diluluskan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat semalam, McFarland berkata republik itu memainkan peranan utama untuk menjaga kepentingan AS di rantau Asia.

“Nilai Singapura kepada Amerika Syarikat menjangkau hubungan dua hala,” kata ibu kepada 5 anak itu dipetik akhbar Singapura, The Straits Times.