Perkasa: Jangan iktiraf India Muslim demi sokongan politik

Ibrahim-Ali-perkasaKUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) meminta kerajaan tidak bertindak terburu-buru dalam mengiktiraf masyarakat India Muslim sebagai Bumiputera demi meraih sokongan politik menjelang pilihan raya umum ke-14.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kajian perlu dilakukan secara mendalam berdasarkan Perlembagaan Persekutuan serta mempertimbangkan kesannya.

“Jangan gopoh…jangan kerana nak dapat sokongan politik waima apa sahaja, sebab dia ada implikasi.

“Ini India Muslim, macam mana dengan mualaf nanti, kalau mualaf minta taraf Bumiputera. Kecoh nanti. Nak layan India Muslim dari segi kemudahan boleh layan, tak semestinya dia kena iktiraf Bumiputera,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Perkasa hari ini.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji tuntutan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) untuk diwartakan sebagai Bumiputera.

Selain mewartakan India Muslim sebagai Bumiputera, Presiden Permim, Dhajudeen Shahul Hameed turut meminta kerajaan memperuntukkan tanah untuk pusat komuniti India Muslim di Kuala Lumpur atau Putrajaya serta melantik pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri untuk menguruskan hak ehwal masyarakat itu.

Ibrahim yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas berkata, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, masyarakat India Muslim tidak boleh diiktiraf sebagai Bumiputera.

“Tak ada ruang nak bagi dari segi Perlembagaan dan saya harap India Muslim jangan salah faham kerana saya sebagai Islam, Islam adalah bersaudara.

“Kalau boleh saya nak sokong, tapi sokongan itu nanti berpandu kepada Perlembagaan. Jangan timbul masalah, nanti kaum lain minta,” katanya.

Anda semua Bumiputera, Najib beritahu India Muslim