FGV nafi terlibat konspirasi siasat Datuk Zakaria

fgv--zakariaKUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menegaskan ia tidak terlibat dalam mana-mana konspirasi atau agenda peribadi dalam menjalankan proses siasatan dalaman ke atas Datuk Zakaria Arshad dan 3 lagi kakitangan pengurusan kanan.

Dalam kenyataan hari ini, FGV berkata, siasatan ini dianggap tanggungjawab fidusiari lembaga pengarah dalam menjalankan tanggungjawab prihatin dalam pengurusan sebuah syarikat penyenaraian awam dan kepentingan pemegang saham.

“FGV, yang komited kepada amalan tadbir urus korporat yang baik, akan memastikan siasatan dalaman dijalankan secara adil dan saksama. Siasatan dalaman akan menumpukan kepada isu hutang Safitex,” katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 19 Jun, FGV berkata terdapat beberapa bukti asas yang membolehkan Lembaga Pengarah FGV mengambil tindakan disiplin terhadap ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan dan 2 lagi pegawai kanan yang berkaitan dengan pelanggaran prosedur dalaman.

“Tuduhan yang menyatakan bahawa lembaga pengarah mempunyai agenda peribadi untuk menjatuhkan pengurusan kanan adalah tidak wajar.

“Jika tuduhan ini berterusan, ia dikhuatiri boleh menyebabkan fokus FGV tergendala daripada usahanya untuk menambah baik operasi teras, menjana nilai tambah dan melaksanakan tanggungjawab fidusiari lembaga pengarah kepada pemegang saham,” katanya.

Kumpulan itu berkata, setakat ini, keputusan yang diambil membolehkan Zakaria dan 3 lagi kakitangan pengurusan kanan untuk bercuti dengan bergaji penuh dan menerima semua kemudahan.