Kit Siang tiada dalam kepimpinan gabungan buka laluan kepada orang muda

lim-kit-siang-pakatan-harapan-1KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP Lim Kit Siang bukan tunggangan mana-mana pihak, dan ketiadaan namanya dalam barisan kepimpinan Pakatan Harapan bukan bukti sebaliknya.

Bercakap kepada 200 hadirin di satu majlis di sini, Kit Siang berkata beliau mahu membuka laluan kepada orang muda untuk memikul tanggungjawab kepimpinan dalam gabungan pembangkang.

“Antara sebab saya tiada dalam barisan itu, kerana kami mahu lebih ramai orang muda,” katanya.

Sejak barisan kepimpinan gabungan pembangkang diumumkan minggu lepas, beberapa pemimpin Umno menyatakan sokongan kepada Lim, mengatakan beliau sewajarnya dinamakan pengerusi PH dan bukannya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana DAP merupakan parti terbesar dalam PH, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seorang lagi pemimpin Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak mempertikaikan mengapa pemimpin DAP tidak diberikan jawatan tinggi dalam PH sedangkan parti itu memiliki jumlah ahli Parlimen paling ramai dalam gabungan itu.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun pada Rabu menjelaskan keputusan mengenai barisan kepimpinan itu berdasarkan kepada cadangan parti komponen PH.

“Kami ikut cadangan setiap parti. Kami tak tolak mana-mana cadangan,” katanya kepada media.

Sementara itu, Lim menegaskan betapa pentingnya anak muda tampil ke depan mengambil tanggungjawab itu demi masa depan negara, walaupun dalam isu mengenai beban membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Orang muda perlu ambil tanggungjawab, seperti dalam isu PTPTN dan perkara lain. Mereka perlu pikul tanggungjawab membuat keputusan,” katanya kepada hadirin yang rata-ratanya dari golongan belia.