Ku Nan: Kerajaan BN tak maksum tapi sanggup baiki diri

tengku-nan-bn2

KUALA LUMPUR: Di sebalik tumpuan semua kini beralih kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan “parti yang sempurna” tetapi sentiasa bersedia untuk mendengar dan memperbaiki kelemahan.

“Benar kami bukan parti yang sempurna, tidak maksum. Apa sahaja kesalahan, kami sanggup memperbaikinya seperti apa yang kami lakukan hari ini.

“Ini yang telah kita lakukan. Saya tidak tahu apa lagi yang saya boleh buat untuk warga Wilayah Persekutuan,” kata menteri wilayah persekutuan ini pada Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) hari ini.

Rumawip adalah projek perumahan mampu milik kerjasama Kementerian Wilayah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan syarikat swasta, dengan sasaran pembinaan 80,000 unit di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjelang 2020.

BN kehilangan kerusi majoriti di Wilayah Persekutuan, yang pernah menjadi kubu kuat, sejak pilihan raya umum 2008.

Di sebalik demam PRU14 yang dijangka akan dipanggil bila-bila masa, BN yang menjadi parti utama memerintah sejak negara merdeka 6 dekad yang lalu, berhadapan dengan siri kritikan dan kecaman.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berharap rakyat akan mengenang kebaikan kerajaan dan membantu kerajaan pada masa akan datang.

“Kita telah bantu (rakyat) dengan pelbagai program, kadang kala anda lupa. Saya nak rayu kepada anda sekalian, tolong bantu kami,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung Umno.

Ketika program, beliau turut memberikan kunci unit kepada 10 pembeli unit Rumawip di Platinum Splendor Residence yang memiliki keluasan 882 kaki persegi dengan harga RM300,000.

Setakat ini, sebanyak 59,600 unit Rumawip daripada sasaran 80,000 unit telah “siap”, “dalam pembinaan” dan “mendapat kelulusan perintah pembangunan”.

Beliau juga menyebut kembali skim pinjaman kerajaan bagi 300 penduduk kawasan setinggan masyarakat India yang menetap selama 30 tahun di tapak perumahan Rumawip Residensi Pandanmas di Kampung Pandan, yang mendapat unit di situ dengan harga RM42,000.

“Kita sedar masyarakat Melayu dan Cina berhadapan masalah sama, jadi saya sedang berbincang dengan perdana menteri, kalau boleh dibuat cara yang sama (seperti penduduk bekas setinggan Kampung Pandan) kepada mereka,” katanya lagi.