Pengakuan SPR lupus daftar pengundi kukuh kes Selangor, kata DAP

Ong-Kian-Ming_spr_undi_600

PETALING JAYA: Pengakuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melupuskan daftar pemilih yang digunakan semasa 2 proses persempadanan semula yang lalu akan kembali menghantui agensi itu dalam pertikaian undang-undang mengenai isu itu, kata wakil rakyat DAP, Ong Kian Ming.

Merujuk kepada salah 1 alasan dinyatakan oleh kerajaan negeri Selangor dalam tuntutan semakan kehakiman terhadap SPR iaitu suruhanjaya tersebut menggunakan daftar pemilih yang ada kecacatan, Ahli Parlimen Serdang ini berkata, perkembangan itu akan mengukuhkan pertikaian ke atas proses persempadanan yang dijalankan sekarang.

“Dengan mengakui SPR telah melupuskan rekod pemilih dari tahun 1994 dan 2003, termasuk butir-butir yang mengandungi alamat pengundi, SPR mungkin telah membuka pintu untuk mempertikaikan proses persempadanan semula yang dikendalikan sekarang.

“Ini boleh dianggap sebagai penggunaan daftar pemilih yang cacat untuk menjalankan proses persempadanan semula,” kata beliau merujuk kepada salah 1 daripada 4 alasan dinyatakan dalam permohonan semakan kehakiman oleh kerajaan negeri Selangor.

Tiga alasan yang lain adalah cadangan SPR adalah tidak mengikut perlembagaan, ketidaksahan dari perlembagaan ekoran kegagalan menggunakan daftar pemilih semasa dan maklumat yang tidak mencukupi dalam cadangan dikemukakan mengurangkan hak untuk membuat perwakilan bermakna.

Khamis lalu, semasa prosiding di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar SPR memberi maklumat kepada kerajaan Selangor mengenai 136,272 pengundi berdaftar, peguam yang mewakili kerajaan, Amarjeet Singh berkata maklumat daftar pemilih tahun 1993 dan 2004 tidak ada dengan SPR.

Beliau menambah, maklumat tahun lepas akan dimasukkan dalam senarai pemilih tahun ini.

Mahkamah Rayuan memutuskan untuk memihak kepada SPR tetapi kerajaan Selangor masih boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Kian Ming berkata, keputusan itu tidak menghalang kerajaan negeri, meskipun jika keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepada mereka kelak, semakan kehakiman yang difailkan oleh kerajaan Selangor terhadap SPR masih perlu didengar di Mahkamah Tinggi kerana prosiding ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Disember lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada kerajaan negeri Selangor untuk semakan kehakimannya mencabar proses persempadanan semula yang bermula pada 15 September 2016.

Kian Ming berkata masalah dengan daftar pemilih ialah sebelum tahun 2002, pengundi tidak perlu mendaftar mengikut alamat kad pengenalan masing-masing.

“Sebab itu terdapat sejumlah besar pengundi tanpa alamat yang lengkap walaupun di negeri maju seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

“Pada masa lalu, ketika Barisan Nasional menjadi dominan dan tidak banyak pemeriksaan ke atas daftar pemilih, SPR membenarkan ahli politik (kebanyakannya dari BN) mendaftarkan pengundi secara beramai-ramai dengan tidak menghiraukan dengan tepat di mana pengundi-pengundi ini tinggal,” kata beliau.

Kian Ming menambah, pada hakikatnya, rahsia kotor itu disedari SPR tetapi tidak mahu mengakui yang daftar pemilih berhadapan dengan kecacatan serius.

Dalam komennya kelmarin, kerajaan negeri Selangor berkata terkejut selepas diberitahu SPR melupuskan daftar pemilih 1994 dan 2003.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau terkejut apabila mengetahui data tempatan, nama dan alamat 136,272 pengundi di Selangor yang digunakan SPR dalam persempadanan semula untuk tahun 1994 dan 2003 dilupuskan.

“Perkara ini adalah amat serius, bagaimana SPR boleh memusnahkan data rasmi yang merupakan rujukan utama dalam proses persempadanan semula dimusnahkan tanpa sebarang salinan.

“Data ini amat penting bagi pengundi Selangor untuk melaksanakan hak mereka untuk menyemak kesahihan persempadanan semula,” kata Azmin.

Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin juga mengecewakan kerana ia tidak memberi sebarang alasan untuk menolak rayuan Selangor dalam permohonannya untuk mendapatkan dokumen daripada SPR.

Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Mohd Zawawi Salleh memutuskan SPR tidak perlu menyediakan daftar pemilih yang digunakan semasa persempadanan semula pada 1994 dan 2003.

Mahkamah juga menolak permohonan Selangor untuk menyiasat Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.