Prof Shad persoal hak bekas ketua hakim negara nasihat Agong

Shad-Saleem_Arifin_600

KUALA LUMPUR: Seorang pakar undang-undang menyertai kumpulan pengamal dan penggubal perundangan yang mempertikaikan sama ada seorang bekas ketua hakim negara boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan hakim tambahan ke Mahkamah Persekutuan.

Profesor Dr Shad Saleem Faruqi berkata sebagai raja berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat perdana menteri seperti mana diperuntukkan di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Tafsiran peribadi saya, raja mesti bertindak atas nasihat perdana menteri dalam semua keadaan kecuali jika perlembagaan menyatakan raja boleh menjalankan atas budi bicaranya,” kata beliau.

Beliau melahirkan pandangan itu pada forum mengenai kebebasan kehakiman dan pemisahan kuasa bertajuk “A New Hope in Light of Semenyih Jaya?”

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada komen di internet oleh seorang “peguam yang terkenal” bahawa perdana menteri tidak termasuk dalam gambaran mengenai soal pelantikan hakim tambahan.

Minggu lalu, Arifin memberitahu FMT perkara itu adalah di bawah bidang kuasa beliau untuk memberi nasihat kepada Agong bagi mempertimbangkan pelantikan Ketua Hakim Tan Sri Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan.

Arifin yang bersara 31 Mac lalu berkata, di bawah Artikel 121(1A) adalah hak prerogatif Agong untuk menerima nasihat beliau.

Peruntukan itu menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik untuk istilah atau tujuan tertentu mana-mana orang yang memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia.

Shad berkata jika itu tafsirannya, maka Yang di-Pertuan Agong menjadi raja mutlak.

“Sebagai contoh, Artikel 41 menyatakan Agong adalah komander tertinggi angkatan bersenjata. Bolehkah baginda memberi perintah menceroboh negara lain,” kata pakar perlembagaan ini.

Shad yang kini menduduki Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya berkata, peruntukan mengenai angkatan bersenjata itu tidak secara tegas menyatakan bahawa raja, sebagai ketua komandan, mesti bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

Beliau mengakui raja Agong mempunyai kuasa budi bicara seperti dalam perkara berkaitan dengan pelantikan perdana menteri, pembubaran parlimen dan menunda pelaksanaan undang-undang.

Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai berkata Yang di-Pertuan Agong telah meluluskan cadangan Arifin untuk melantik Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan.

Berikutan itu, kenyataan media PMO menambah, baginda atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang Mei lalu telah melantik Raus dan Zulkefli untuk kekal dalam jawatan mereka.

Tempoh Raus adalah selama 3 tahun dari 4 Ogos manakala Zulkefli akan kekal dalam jawatan pentadbiran semasa selama 2 tahun mulai 28 September.

Sejak itu, ahli politik, bekas hakim, peguam dan Majlis Peguam mempersoalkan sama ada nasihat Arifin kepada raja adalah selari dengan perlembagaan.

Bekas ketua hakim Tun Abdul Hamid Mohamad menerusi blog menggambarkan kehakiman kini dilihat sebagai prokerajaan sekiranya Raus dan Zulkefli kekal dalam jawatan masing-masing.

Pendapat yang sama telah dinyatakan oleh bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram, bekas menteri undang-undang de facto Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Majlis Peguam George Varughese.

Walau bagaimanapun, peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah dan Jagjit Singh mengambil pendirian bahawa tindakan Arifin adalah sah dan lanjutan tempoh untuk Raus dan Zulkelfi adalah berperlembagaan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/09/amanah-mahu-cabar-keputusan-putrajaya-lanjut-khidmat-rauf-zulkefli/