Ringgit stabil, harga minyak tinggi dijangka kukuh Bursa Malaysia

Nazri-Khan-Adam-Khan-1

KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia dijangka kukuh minggu depan dan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak pada paras 1,770, disokong oleh faktor domestik dan luaran iaitu peningkatan dalam bursa global dan Bajet 2018.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, prestasi Wall Street, Nasdaq dan S&P 500 yang kukuh, selain keputusan Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan untuk mengekalkan dasar semasa mereka, telah meredakan pasaran.

“Bagi minggu depan, kami akan melihat fokus kepada saham teknologi dan pembinaan susulan mereka mengunjurkan akan meraih manfaat daripada Bajet 2018 yang akan datang.

“Kami melihat bajet tersebut akan memainkan peranan penting dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Nazri berkata ringgit yang stabil dan penanda aras minyak mentah Brent yang tinggi juga baik untuk pasaran.

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat kepada 4.2820/2850 berbanding 4.2900/2930 semasa ditutup pada Khamis, manakala penanda aras global kini diniagakan melebihi AS$50 (AS$1 = RM4.28) setong.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI rendah pada awal minggu ini berikutan kekurangan pemangkin baharu.

Bagaimanapun, ia naik 4.16 mata kepada 1,759.16 pada hari dagangan terakhir, mengambil petunjuk daripada pasaran global yang positif.