Sabah tidak mahu jadi ‘Brexit PRU14’, kata Zahid

zahid-umnoPAPAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota Umno dan seluruh rakyat Sabah agar tidak sesekali terpengaruh dengan cubaan pihak luar untuk ‘memBrexit’kan’ Sabah daripada gelanggang Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid berkata tindakan pihak ‘luar’ itu, termasuk bekas kepimpinan Umno peringkat negeri dan nasional yang telah meninggalkan Umno, merupakan langkah yang silap dan boleh memberi impak negatif kepada rakyat dan negeri Sabah.

“Jika ada orang luar sama dari dalam kita (BN dan Umno), tokoh yang asalnya daripada Barisan Nasional yang cuba membawa rakyat Sabah keluar daripada gelanggang Umno dan BN, mereka salah perkiraan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Secara Berkelompok perwakilan Umno Zon 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan dekat sini hari ini.

Brexit adalah merujuk kepada langkah rakyat Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) melalui keputusan pungutan suara dengan andaian bahawa dengan bersendirian, ekonomi Britain akan lebih kukuh dan stabil.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat Britain begitu menyesal dengan langkah brexit berkenaan kerana akibat langkah itu bukan seperti yang diharapkan mereka.

“Sabah tidak mahu jadi ‘Brexit’ di Malaysia ini. Sabah tidak mahu BN dan Umno kecundang.

“Oleh yang demikian, berpandu kepada pengalaman di depan mata kita, bagaimana menyesalnya rakyat Britain dan kita tahu bahawa jika ini dilakukan oleh pemimpin berkenaan (bekas pemimpin Umno dan BN) untuk membawa sekali lagi rakyat Sabah keluar dari gelanggang ‘water reservoir’ yang sama dengan reservoir Putrajaya, maka bukan pemimpin yang menerima akibat tetapi rakyat menerima akibat tidak baik ,” kata Ahmad Zahid.

Menurut beliau, jika Sabah meninggalkan gelanggang Umno dan BN, risikonya terlalu tinggi seperti yang pernah dilalui oleh beberapa kerajaan negeri Sabah sebelum ini apabila mereka menubuhkan kerajaan hasil mainan sentimen yang tidak selari dengan kerajaan Pusat.

Justeru, katanya, situasi politik di Sabah kini di mana wujud perkongsian kuasa di kalangan parti-parti komponen BN perlu diteruskan demi kestabilan politik meskipun mungkin kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) ditambah daripada 60 kepada 73 kerusi kelak.

“Saya harap rakan-rakan kita dalam BN jangan beri tekanan kepada ketua menteri. Kita harap rakan-rakan kita dalam BN berunding dengan sebaik-baiknya. Yang penting bukan pembahagian kerusi tetapi yang penting Umno dan BN boleh memerintah dengan selesa di Sabah.