Senario PPBM bukan mengenai ‘Melayu lawan Cina’, kata Kit Siang

limkitsiang-ppbm2KUALA LUMPUR: PPBM mungkin mengisytiharkan diri mereka sebagai parti untuk orang Melayu, tetapi bagi Lim Kit Siang, parti itu sedang bergerak ke arah rakyat yang melihat diri mereka bukan sebagai kaum berbeza tetapi sebagai rakyat Malaysia.

Ini berbeza dengan BN dan Umno, yang berusaha “menggambarkan pilihan raya umum akan datang pertembungan antara Melayu dan Cina”, kata pemimpin DAP itu.

Lim mengulas kenyataan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata orang Melayu masih sangat perkauman.

“Saya fikir kebangkitan di kawasan pedalaman yang rata-ratanya orang Melayu, bukan sahaja di kawasan bandar, penting untuk rakyat Malaysia.

“Ini bukan soal kaum. Ini soal kawasan bandar dan desa,” kata Lim kepada pemberita di satu majlis hari ini.

Dr Mahathir berkata oleh kerana orang Melayu masih komunal, PPBM perlu kekal sebagai parti untuk orang Melayu sahaja.

Oleh itu, sekiranya pendaftaran DAP dibatalkan dan usaha PH mendaftarkan gabungan secara rasmi gagal, maka parti itu tidak boleh bertanding atas tiket PPBM.

Lim tidak terkejut dengan kenyataan ahli politik berusia 92 tahun itu. Bagaimanapun beliau percaya pembangkang masih ada berpeluang meraih sokongan orang Melayu.

“Terutamanya dalam 1 minggu kebelakangan ini, selepas pengumuman logo bersama PH dan barisan kepimpinan gabungan.

“BN dalam keadaan panik sehinggakan sesetengah pemimpin mereka membodohkan diri sendiri,” kata ketua ahli Parlimen DAP itu.

Ia semakin jelas apabila BN menyedari masyarakat semakin menyokong pembangkang, katanya, dan menambah Dr Mahathir dan PPBM sahaja boleh meraih “80% undi orang Melayu”.

Awal hari ini di satu majlis bersama belia di Bangsar, Lim berkata ada usaha untuk mewujudkan 2 kutub berbeza di negara ini oleh kerajaan BN.

Katanya, mereka menyebarkan idea mengenai pertembungan antara orang Melayu dan orang Cina dan satu-satunya cara orang Melayu boleh diselamatkan adalah mengekalkan kerajaan sedia ada.

Tetapi orang ramai hanya perlu melihat pentadbiran Malaysia sejak 60 tahun lalu dan sedar orang Melayu tidak mungkin tewas, katanya kepada 200 hadirin.

“Siapa perdana menteri, pemimpin dan raja-raja? Mereka semua Melayu. Barisan kepimpinan PH juga begitu.

Barisan kepimpinan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum gabungan, Dr Mahathir sebagai pengerusi gabungan dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden gabungan.

Lim Kit Siang tidak terpilih ke jawatan kepimpinan gabungan.