Utamakan kepentingan pemegang saham, jangan politikkan koperasi

Ahmad-Zahid-Hamidi_invester_600

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan urusan sesebuah koperasi demi memastikan kelancaran operasi, sekali gus memberi keuntungan kepada ahli dan pemegang sahamnya.

Timbalan perdana menteri berkata pada masa ini banyak pihak termasuk ahli politik yang berminat untuk menerajui koperasi memandangkan ia mempunyai prospek yang cerah.

“Mana-mana koperasi termasuk bank yang dikendalikan ahli-ahli profesional, jangan dipolitikkan, tidak campur politik tidak ada cucukan-cucukan politik.

“Jika ada orang politik sekalipun yang mengendalikan sesebuah koperasi tetapi tidak menyuntik unsur politik (ke dalam koperasi itu), saya yakin koperasi itu akan berjalan sebaik-baiknya dan memberi keuntungan kepada ahli-ahlinya,” katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Raya Perdana Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) di sini malam tadi.

Beliau berkata kepentingan ahli dan pemegang saham sesebuah koperasi perlu diutamakan mengatasi kepentingan politik dan peribadi seseorang.

Ahmad Zahid juga berharap sebuah lagi bank koperasi dapat ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan perbankan kepada ahli koperasi dan rakyat.

Katanya selain Bank Rakyat yang telah berjaya menjadi sebuah bank, terdapat sebuah lagi koperasi yang kini memiliki aset yang besar dan boleh diangkat menjadi sebuah bank.

“Saya mengharapkan sebuah lagi koperasi yang yurannya besar, asetnya besar dalam masa terdekat diberikan lesen sebagai satu lagi bank koperasi di negara ini,” katanya.