Dr Mahathir ‘top dog’ Pakatan Harapan?

mahathir-harapanPETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad Selasa lalu mengaku dirinya sebagai ‘top dog’ atau ‘pemimpin dominan’ Pakatan Harapan (PH), sekali gus menggambarkan kedudukan terbaharunya dalam pakatan pembangkang itu sama taraf dengan Datuk Seri Najib Razak yang mengetuai Barisan Nasional (BN).

Kenyataannya itu seolah-olah bertentangan dengan pendekatan PH yang mahu struktur kepimpinannya yang terdiri daripada ketua de facto Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir selaku pengerusi dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergandingan dengan suara yang sama.

Begitu juga dengan Dr Mahathir sebagai ‘top dog’ terutamanya apabila 3 daripada 4 parti gabungan itu mahu Anwar dijadikan perdana menteri manakala Wan Azizah sebagai yang sementara dan bukannya pemimpin berusia 92 tahun.

Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui peranan Dr Mahathir tetapi hanya ketika Anwar berada di penjara.

“Struktur kami sangat jelas, apabila kami datang dengan senarai kepimpinan kami, Anwar berada di atas sekali. Tetapi buat masa ini Anwar berada di penjara. Sehingga kini, ya, Mahathir memainkan peranan utama.

“Tetapi kesepakatan yang dicapai oleh 4 parti adalah Anwar akan dilantik sebagai perdana menteri selepas keseluruhan proses pengampunan dan pembebasan selesai.

“Jika anda perdana menteri, anda adalah pemimpin utama dalam gabungan (PH),” kata beliau kepada FMT.

Saari Sungib, yang mengetuai sekumpulan bekas aktivis reformasi yang disebut Otai Reformis, bersetuju dengan mengatakan apa saja yang melibatkan perbincangan dan soal membuat keputusan, Dr Mahathir akan menjadi ‘top dog’.

Bagaimanapun pengerusi tidak akan menerajui pentadbiran negara, kata beliau.

“Tanggungjawabnya adalah untuk memimpin parti dan memastikan demokrasi benar-benar berlaku, dengan menyediakan aspek periksa dan imbang yang diperlukan.

“Cara kita melihat perkara ini, jika kita memenangi pilihan raya umum, presiden akan menjadi perdana menteri manakala yang lain dalam barisan kepimpinan akan menjadi menteri Kabinet,” kata Saari kepada FMT.

Peningkatan Dr Mahathir di PH menghakis sokongan asal dalam gabungan itu, terutamanya aktivis reformasi.

Akhbar The Star baru-baru ini melaporkan penyokong-penyokong tegar Anwar merasa mereka dikhianati dan Setiausaha Otai Reformasi Razak Ismail mengancam untuk meletakkan jawatan dan menyertai Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Saari mengakui peranan baharu Dr Mahathir tidak diterima dengan baik oleh beberapa kumpulan, dengan mengatakan ada pihak yang mempertimbang untuk meninggalkan gerakan reformasi sama sekali.

Tetapi bagi PH pada umumnya, termasuk aktivis seperti Saari, kerjasama dengan Dr Mahathir dan PPBM, yang pada masa itu digelar “Umno 2.0” adalah perlu untuk melawan “kejahatan lebih besar” pentadbiran Najib, yang kini merupakan perdana menteri dan presiden Umno.

“Kami masih berpegang pada pendirian kami, Mahathir telah melanggar hak asasi dengan menangkap orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyalahgunakan kuasanya dan bertanggungjawab terhadap salah urus kewangan.

“Dan beliau masih belum bertaubat atau mengakui bahawa beliau telah melakukan salah laku. Tetapi kita menghadapi ancaman besar sekarang, di bawah kerajaan sekarang.”

Beliau juga berkata Otai Reformasi akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini untuk menangani semua isu berkaitan dengan perkembangan terkini.

Sementara itu, Nik Nazmi memberi jaminan kepada penyokong PH, terutamanya dari PKR yang merupakan sebahagian daripada peserta pergerakan Reformasi 1998 bahawa PKR masih amat penting dalam gabungan itu walaupun Dr Mahathir, yang juga pengerusi PPBM, mengetuai tanggungjawab itu buat masa sekarang.

“Landskap politik hari ini memerlukan kesemua mereka untuk bekerjasama, untuk memerangi kejahatan yang lebih besar, kerajaan yang dipimpin BN.

“Dr Mahathir telah menerima Anwar sebagai ketua de facto dan juga sebagai calon perdana menteri yang ke-8. Itu mengatakan sesuatu yang besar yang Anwar dapat capai (kelak).

“Saya yakin kebanyakan daripada kita, ketika kita bertempur pada tahun 1998, tidak dapat membayangkan kejadian itu. Tetapi sekarang, senario adalah kita berhadapan dengan Najib,” kata beliau sambil menambah, semua pihak tidak kira kedudukan perlu “bekerjasama”.

PPBM mirip Umno

Pembangkang telah lama cuba tetapi gagal menundukkan BN. Walaupun bekas pakatan mereka, Pakatan Rakyat telah memberi persaingan hebat kepada BN, ia tidak cukup untuk meyakinkan pengundi, terutamanya orang Melayu di kawasan luar bandar untuk menukar sokongan mereka.

Dengan PAS sudah tidak lagi bersama PH, undi Melayu akan lebih banyak berpecah. Walaupun Amanah cuba menggantikan parti Islam itu kekuatan mereka masih belum teruji.

Di sinilah Dr Mahathir dan PPBM mengambil tempat.

“Dr Mahathir beri kita sokogan orang Melayu yang menyokong Umno. Mereka tidak akan pergi kepada PAS atau Amanah, mereka akan pergi kepada PPBM, sebuah parti yang lebih mirip dengan Umno,” kata Saari.

Dr Mahathir telah mengetuai Umno lebih 2 dekad sebelum memutuskan untuk bersara pada 2003.

Tahun lalu, beliau keluar dari parti untuk kali ke-2 dalam 10 tahun lalu, mendakwa ia telah menjadi parti berpusatkan Najib, bukannya yang khusus untuk melindungi Melayu dan negara.

Beliau kemudiannya membentuk parti politik sendiri, PPBM, yang mana ahli-ahlinya adalah bekas penyokong dan pemimpin Umno, termasuk timbalan presiden yang dipecat Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tetapi persoalan timbul sama ada Dr Mahathir dan pemimpin PBBM akan membuat kerajaan PH mirip Umno.

Penganalisis politik bebas Khoo Kay Peng percaya ia tidak akan berlaku.

Beliau berkata parti komponen PH tidak seperti BN.

“Semua komponen PH melihat diri mereka sama, tetapi dalam BN pasti ada 1 ‘top dog’ iaitu Umno.

“Jadi setiap mereka mahu laluan masing-masing. Itu sebabnya mereka berpisah beberapa kali. Jadi pastinya tidak seperti BN dan Umno,” katanya.

Mengenai kebimbangan bahawa Dr Mahathir akan menerajui jawatan perdana menteri sekali lagi, beliau berkata, kebimbangan itu tidak berasas walaupun mengeluarkan kenyataan menjadi “pemimpin dominan”.

Mengambil kira usia Dr Mahathir, beliau berkata “ada sesuatu yang tidak kena” jika orang berpendapat mereka yang sudah berusia lebih 90 tahun masih mahu menjadi perdana menteri.