Isa mahu ahli Umno sokong calon PRU pilihan PM

Isa-samadPORT DICKSON: Ahli Parlimen Jempol Tan Sri Mohd Isa Samad meminta anggota Umno menerima secara terbuka dan memberi sokongan penuh terhadap siapa sahaja yang dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Bila dah diletakkan calon, jangan persoalkan. Terima saja dan kita terus buat kerja kita bagi memastikan kemenangan BN (Barisan Nasional).

“Bila masyarakat tengok kita bersatu hati, orang yang bukan ahli pun akan tertarik untuk mengundi calon kita,” kata Mohd Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Mukim Pasir Panjang di sini malam tadi.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Pasir Panjang Ramli Aziz berharap pucuk pimpinan parti akan meletakkan calon yang dekat di hati masyarakat setempat untuk bertanding di kawasan Parlimen Teluk Kemang pada PRU14.

“Bila kita buat kajian, turun padang bertemu masyarakat setempat, kita tengok masalah calon antara punca kekalahan BN di PRU yang lepas.

“Bila calon luar yang bertanding, pengundi tak kenal, sebab itu kena letak calon tempatan yang disukai masyarakat dan yang berjasa kepada kawasan Teluk Kemang,” katanya yang ditemui di majlis sama.

Kawasan Parlimen Teluk Kemang kini disandang Datuk Kamarul Baharin Abbas daripada PKR yang merampas kerusi itu daripada penyandang Datuk S. Sothinathan pada PRU 2008 sebelum mempertahankannya pada PRU 2013 dengan menewaskan calon BN dan calon Bebas.