Pemandu buang sampah di jalan, berwaspada anda diperhati

buang-sampah-jalan-swcorp-jpj

ALOR SETAR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan sistem pengkomputeran mySIKAP bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemandu yang membuang sampah di jalan raya.

Pengarah SWCorp Kedah, Hazahar Hashim berkata melalui kerjasama ini, pihak SWCorp dapat mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis terhadap pemandu kenderaan yang membuang sampah dari dalam kenderaan.

“Kita (SWCorp) dapati masyarakat masih kurang kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan apabila mereka membuang sampah semasa dalam pemanduan terutamanya ketika sedang berhenti di lampu isyarat merah.

“Kita akan tangkap gambar kenderaan pemandu yang membuang sampah sebelum mendapatkan maklumat lengkap melalui nombor pendaftaran kenderaan dengan menggunakan sistem pengkomputeran mySIKAP oleh pihak JPJ,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka SWCorp Kedah di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini ada negeri yang telah menggunakan sistem ini namun tidak secara menyeluruh dan SWCorp Kedah akan cuba menjadi negeri pertama yang mengguna pakai sistem mySIKAP untuk mengambil tindakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata SWCorp juga sedang menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya membuang sampah ke dalam tong sampah yang telah disediakan oleh pihak syarikat pengurusan sisa pepejal, E-Idaman Sdn Bhd.

“Tong sampah telah disediakan tetapi masih ada masyarakat yang membuang sampah di luar dan tepi bahagian tong yang telah disediakan.

“Buat masa ini kita masih dalam proses berkempen dan selepas ini sekiranya masyarakat gagal membuang samaph di tempat yang sepatutnya, tindakan undang-undang akan dikenakan,” katanya.