Tangki air pecah, Kompleks Teruntum Kuantan ditutup serta-merta

tangki

KUANTAN: Semua premis perniagaan dan pejabat kerajaan di Kompleks Teruntum di sini diarah menghentikan operasi serta-merta ekoran kejadian tembok batu runtuh akibat tangki air di tingkat 4 bangunan itu pecah hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan kerana bimbang kejadian serupa berulang selepas meninjau kerosakan struktur kompleks yang terletak di Jalan Mahkota-Seri Kuantan di sini.

“Arahan penutupan membabitkan premis perniagaan dan pejabat kerana kita dimaklumkan kejadian ini menyebabkan bekalan air serta sistem pendingin hawa di Kompleks Teruntum tidak berfungsi.

“Tempoh penutupan operasi akan ditentukan kemudian selepas melakukan pemeriksaan lanjut bersama Jabatan Kerja Raya Pahang dan pihak pengurusan bangunan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Wahab juga mengesahkan dalam kejadian 1 tengah hari itu 4 orang awam cedera ringan selain 3 kereta dan 10 motosikal yang diletakkan di ruang letak kenderaan berhampiran kompleks tersebut rosak akibat dihempap serpihan tembok.

Difahamkan kali terakhir pihak pengurusan kompleks berkenaan menukar tangki air itu ialah kira-kira 15 tahun lalu.

Kompleks itu dibuka pada Januari 1980 dan mempunyai 21 tingkat dengan 3 daripadanya dikhususnya sebagai premis perniagaan manakala selebihnya adalah ruang pejabat.