Umno gesa komponen BN kerja keras rampas Selangor

zahid-hamidi-umno-rampas-selangorSEMENYIH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa parti-parti komponen selain Umno bekerja keras untuk merampas semula Selangor, yang dikuasai pembangkang sejak 2008, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno dan menjalankan tugas timbalan presiden berkata, ini kerana PRU lalu jelas menunjukkan sokongan kaum bukan Melayu terhadap BN semakin berkurangan manakala sokongan Melayu pula meningkat.

“Jika dilihat statistik sokongan mengikut bangsa pada PRU lepas, dalam PRU12 sokongan Melayu terhadap BN sebanyak 57.9 peratus, PRU13 sebanyak 58.9 peratus manakala sokongan Cina pada PRU12 ialah 29.8 peratus dan PRU13 sebanyak 13.4 peratus, sementara India mencatatkan 36.3 peratus pada PRU-12 dan 34.4 peratus pada PRU-13.”

Sambil bertanya “kenapa ini berlaku?”, Ahmad Zahid berkata, Selangor bukan hanya untuk Melayu tetapi juga untuk kaum Cina dan India maka parti komponen yang lain harus bersama-sama bekerja keras untuk rampas semula Selangor.

“Komponen BN harus ‘berjaga’ sekarang, jangan hanya bercakap sahaja,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Hulu Langat di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Datuk Johan Abd Aziz.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menggesa BN Selangor menzahirkan perkongsian kuasa mereka dengan merampas semula negeri itu daripada pembangkang.

“Di Selangor kita hilang lapan kerusi, kerusi yang kita menang semuanya kerusi Umno… apa jadi dengan parti komponen?

Ahmad Zahid berkata adalah tidak wajar untuk BN Selangor terus membiarkan pembangkang menikmati hasil keringat mereka membangunkan negeri itu.

“Pembangunan, kemajuan dengan pelaburan asing termasuk peluang pekerjaan dibawa Umno dan BN sebelum mereka (pembangkang) memerintah… macam mana mereka baru dua penggal memerintah sudah kata mereka menyumbang 25 peratus Keluaran Dalam Negara kasar.

“Kita yang menebas, bercucuk tanam dan membajak tetapi hasilnya, buahnya diambil orang lain… bukan itu sahaja bahkan apabila hati dan minda rakyat kita tidak jaga kita seolah-olah menyediakan semuanya untuk pembangkang,” katanya lagi.

“Saya berjanji pada diri saya kalau Parlimen Hulu Langat dan DUN (dewan undangan negeri) yang kita kalah kita berjaya rampas semula saya janji pada diri saya, saya akan turun balik dan berikan peruntukan yang banyak,” kata beliau yang juga menteri dalam negeri.