‘6 insentif diumum Najib tak selesai 2 masalah Felda’

felda-skgf-1KUALA LUMPUR: Suara Generasi Kedua Felda (SGKF) berkata, pengumuman 6 insentif untuk peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) oleh Datuk Seri Najib Razak tidak menyelesaikan masalah mereka.

Penasihat SGKF, Datuk Zulkefli Nordin berkata, pihaknya terkilan kerana 2 isu penting, iaitu urus tadbir dan penyata hutang ladang tidak ditekankan perdana menteri dalam pengumuman itu.

“Kalau 2 isu penyata hutang dan pengurusan ladang selesai, isu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) selesai, Insya Allah benda (perkara asas) ini selesai,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan 6 insentif untuk peneroka dan warga Felda dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas, geran khas serta insentif perumahan.

Perdana menteri berkata, sebanyak 94,956 keluarga peneroka yang layak akan menerima bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000.

Mengulas lanjut, Zulkefli berkata, mereka lebih gembira jika kerajaan memberi perhatian terhadap pengurusan ladang lebih baik.

“Kerana apa yang kami nampak, seandainya 2 perkara ini tidak diselesaikan, maka akan ada lagi esok ‘wow factor’. Setiap tahun ada ‘wow factor’,” katanya sambil menambah pihaknya belum mendapat penyata hutang tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Zulkefli menggesa Najib memecat Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Sulaiman Mahbob dan ahli Lembaga Pengarah yang didakwa meneruskan legasi bekas pengerusi, Tan Sri Isa Samad.

“Di peringkat awal semasa beliau baru dilantik, saya beri sepenuh kepercayaan untuk buat perubahan di FGV. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Kami terkilan dengan apa yang berlaku di FGV sekarang. Kalau dulu Tan Sri Shahrir Samad ambil alih Felda, Shahrir buat perubahan yang amat drastik. Dia bersihkan ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation (FIC).

“Tetapi, ini tidak berlaku di FGV apabila pengerusi baru dilantik. Beliau mengekalkan beberapa nama yang mempunyai sejarah kontroversi.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/23/najib-umum-6-insentif-lupus-hutang-peneroka-beli-saham-fgv/