Adun BN: Jawapan Azmin berhubung naik tarif air kelirukan DUN

Sulaiman-Abdul-Razak-tarif-airSHAH ALAM: Adun Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata tarif air tidak boleh dinaikkan selagi pengambilalihan konsesi air Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) belum selesai.

Maka kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa kerajaan persekutuan “mengasak” kerajaan negeri memberi komitmen akan menaik taraf air mengelirukan Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Kadar air boleh dinaikkan atau tidak berdasarkan kos yang dibayar kepada pengendali-pengendali air. Sekarang ini tinggal Splash belum dibayar.

“Pengambilalihan Splash tidak selesai…macam mana nak naikkan tarif air? Jumlah nak bayar Splash pun belum ditentukan,” katanya kepada pemberita di DNS hari ini.

Azmin hari ini berkata kerajaan negeri 22 Jun lalu sekali lagi menolak nisbah pengambilalihan Splash yang dicadangkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta permintaan menaik tarif air.

Menurut beliau, kementerian menerusi surat bertarikh 26 Mei 2017 “asak” kerajaan negeri memberi komitmen bertulis menaik tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya minta menteri besar bagi 1 salinan surat KeTTHA pada kerajaan negeri. Kita nak semak sama ada benar atau tidak. Kita akan semak juga dengan KeTTHA,” katanya.

Splash adalah syarikat konsesi terakhir yang belum bersetuju dengan tawaran Selangor.

Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) menerima tawaran kerajaan Selangor mengambil alih semua ekuiti, aset dan liabiliti 2 syarikat konsesi air miliknya – Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014.

Ia menyusul pemegang saham Konsortium Abass Sdn Bhd yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga RM900 juta.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/24/azmin-kerajaan-pusat-belum-maklum-nilai-ambil-alih-splash/