Adun BN tak setuju ‘dedak’ dalam DUN Selangor

Ng-Sue-Lim-dun-selangorSHAH ALAM: Sesi petang Dewan Undangan Negeri Selangor kecoh apabila beberapa Adun pembangkang dari Barisan Nasional (BN) mencadangkan supaya perkataan “dedak” tidak digunakan di dalam dewan.

Sebelum itu, Adun Sekinchan Ng Sue Lim dari DAP menempelak golongan dinamakan “pemakan dedak”, merujuk istilah yang dipopularkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa penyokong Umno disogok oleh Datuk Seri Najib Razak.

Ng mempertahankan penggunaan “dedak”, dengan berkata ia juga digunakan dalam isu berkait penternakan.

“Ada dedak yang diperbuat daripada hampas padi. Ini penting dalam pertanian,” kata Ng ketika membahas usul menggesa kerajaan negeri meneliti kesan terhadap pelaburan, ekonomi, pencukaian dan impak terhadap kerajaan negeri secara keseluruhannya, rentetan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap 1MDB.

Adun BN kemudian meminta Ng memberikan takrifan perkataan “dedak”.

Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) meminta Ng menjelaskan sama ada orang kampung yang menerima bantuan daripada kerajaan juga tergolong dalam kumpulan “pemakan dedak”.

“Saya ingin Ng menjawab itu dan beri maksud sebenar perkataan ‘dedak’, semua rakyat nak tahu,” katanya.

Speaker Hannah Yeoh bagaimanapun menolak permintaan Nadzari, dengan berkata Ng tidak mempunyai kuasa menjelaskan makna perkataan itu, sebaliknya ia bidang pakar bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.