SHAH ALAM: Datuk Seri Azmin Ali berkata, kerajaan pusat belum memaklumkan nilai pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) kepada kerajaan Selangor.
Menteri besar Selangor itu berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menerusi surat bertarikh 26 Mei 2017 hanya memaklumkan kaedah penilaian ke atas Splash oleh penilai bebas antarabangsa yang dilantik kerajaan pusat.
“Kerajaan negeri Selangor masih menunggu maklum balas jemaah menteri berhubung nilai pengambilalihan Splash.
“Di dalam surat sama, KeTTHA masih menggesa kerajaan negeri kemuka pendirian rasmi mengenai nisbah pengambilalihan Splash, iaitu 60% dibiayai kerajaan persekutuan dan 40% dibiayai kerajaan negeri.
“Dan kementerian (KeTTHA) juga asak kerajaan negeri memberi komitmen bertulis menaikkan tarif air di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya,” katanya menjawab soalan Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abdul mengenai status terkini pengambilalihan Splash di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, kerajaan negeri pada 22 Jun lalu sekali lagi menolak nisbah pengambilalihan Splash yang dicadangkan KeTTHA serta permintaan menaikkan tarif air.
“Lanjutan ini dipersetujui kedua-dua pihak agar tidak membebankan rakyat. Jaminan kerajaan negeri apa pun pembayaran kepada Splash tidak akan membebankan rakyat Selangor,” katanya.
Splash adalah syarikat konsesi terakhir yang belum bersetuju dengan tawaran Selangor.
Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) menerima tawaran kerajaan Selangor mengambil alih semua ekuiti, aset dan liabiliti 2 syarikat konsesi air miliknya – Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014.
Ia menyusul pemegang saham Konsortium Abass Sdn Bhd yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air pada harga RM900 juta.