Caj beg plastik di Selangor sumbang RM1.87 juta

Elizabeth-Wong-no-plastic-bagSHAH ALAM: Sebanyak RM1.87 juta dikutip daripada orang ramai menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik sejak kerajaan Selangor melaksanakan kempen “Bebas Beg Plastik” bermula 1 Januari lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata kutipan itu hanya membabitkan peniaga pasar raya dan premis makanan yang memaklumkan menerusi laporan data kutipan caj 20 sen dari Januari sehingga Mei lepas kepada kerajaan negeri menerusi persatuan peniaga masing-masing.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 63.98% kutipan membabitkan peniaga pasaraya manakala selebihnya membabitkan peniaga premis makanan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Baharu) yang bertanya mengenai statistik kutipan 20 sen beg plastik yang diperoleh peniaga menerusi pelaksanaan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ di Selangor.

Menjawab soalan Lee mengenai kos pelaksanaan kempen berkenaan, Wong (PKR-Bukit Lanjan) berkata sehingga 30 Jun lepas, kerajaan negeri membelanjakan RM213,678.30 termasuk bagi pembelian poster, pembelian bunting dan pembelian beg “non-woven”.

Sebelum ini, Wong berkata caj 20 sen yang dikenakan bagi setiap beg plastik adalah selaras dengan kempen “Bebas Beg Plastik” di Selangor, menyebabkan pelbagai pihak mengkritik tindakan itu kerana menganggapnya sebagai membebankan orang ramai.