Cuepacs pertikai Lembaga Koko hentikan 281 pekerja mahir

cuepacsKOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mempertikaikan tindakan Lembaga Koko Malaysia (LKM) memberhentikan hampir separuh daripada pekerjanya serta meminta kerajaan campur tangan.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, tindakan drastik LKM memberhentikan 281 daripada 730 warga kerjanya tidak masuk akal kerana rata-rata mereka pekerja berkemahiran dalam bidang masing-masing.

“Walaupun mereka adalah pekerja sementara dan bukan berstatus tetap selama ini, tindakan ini kami tidak boleh terima. Ada antara mereka sudah berkhidmat di LKM selama 17 tahun dan tiba-tiba menerima notis pemberhentian. Ini tidak masuk akal.

“Oleh itu, kami minta kerajaan campur tangan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menteri berkenaan supaya semua pekerja terlibat terus kekal berkhidmat dan memberi satu produktiviti kepada agensi itu dan negara,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama kakitangan LKM dari Sabah dan Sarawak yang menerima notis pemberhentian itu, hari ini.

Menurut Azih, notis pemberhentian itu melibatkan pekerja sementara LKM di seluruh negara dan berkuat kuasa 13 Ogos ini.

Cuepacs turut meminta kerajaan negeri membantu pekerja terlibat dengan menempatkan mereka di agensi kerajaan yang bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.

Azih berkata, daripada 281 pekerja yang bakal diberhentikan, 122 adalah pekerja agensi itu di Semenanjung; 111 di Sabah dan 48 di Sarawak yang masing-masing terdiri daripada penolong pegawai penyelidik serta pembantu pentadbiran di pejabat, ladang dan kilang LKM.

Katanya, 94 daripada 281 pekerja itu ditawarkan semula sebagai pekerja sambilan harian selama 3 bulan dengan gaji RM54 sehari.

Beliau berkata, Cuepacs juga akan menghantar surat kepada LKM bagi menuntut penjelasan berhubung tindakan agensi itu.