Guna akal dalam soal agama, ulama Indonesia sudah lama jelaskan

islamic-reinassance

KUALA LUMPUR: Ketika soal peranan akal dan wahyu dalam Islam masih diperdebatkan sehingga kini, ulama terkenal Indonesia Mohammad Natsir sudah menggariskan kepentingan akal berdekad lalu, sebuah seminar mengenai pemikiran tokoh kelahiran Sumatera itu diberitahu semalam.

Gagasan Natsir tentang akal amat penting kerana ia diluahkan pada masa umat Islam ketinggalan dalam sains dan teknologi serta pengetahuan akliah, kata bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Nur Manuty, berucap pada Seminar Pemikiran Mohammad Natsir anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) semalam.

“Natsir membicarakan akal dengan jelas sekali, menurut apa yang diajar Al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Menurutnya, bekas perdana menteri Indonesia itu juga mahu Majlis Syura Muslimin Indonesia menekankan kepentingan penggunaan akal.

“Beliau tidak mahu persoalan itu dianggap tidak penting atau kontroversi, kerana kononnya ahli falsafah Islam dikatakan kufur atau fasik kerana terlalu mementingkannya.”

Seminar itu salah satu dalam siri mengenai pemikiran reformis dunia Islam anjuran IRF.

Semalam, ia turut menampilkan Ketua Muhammadiyah Jawa Timur, Profesor Thohir Luth, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Sorihin Mohammad Solihin, dan pensyarah Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) Azhar Ibrahim.

Natsir (1908-1993) merupakan tokoh politik dan sosial di Indonesia dan menjadi perdana menteri ke-5. Beliau terlibat dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia dan kemudiaannya banyak menulis tentang Islam, antaranya “Capita Selecta”, himpunan tulisannya di pelbagai media.

Mengulas lanjut, Nur berkata gagasan Natsir menegaskan keseimbangan dalam peranan akal dan wahyu.

“Menurutnya, iman akan lemah kalau hanya bertumpu kepada akal, tetapi tidak sempurna jika tertumpu kepada wahyu sahaja. Wajib beriman, tetapi peranan akal dalam dunia yang sering berubah adalah kemestian,” katanya.

Pensyarah NUS Azhar Ibrahim berkata, ramai yang boleh membicarakan soal itu dengan memetik kata-kata tokoh intelektual dan falsafah yang lalu, namun Natsir memiliki sesuatu yang berbeza.

“Beliau sangat teliti untuk menjelaskan kekuatan dan kelemahan (akal),” katanya.

Satu lagi kelebihan Natsir bagi Azhar adalah sering mengangkat isu nyata yang dihadapi rakyat, bukannya soal “akhirat” sahaja.

Beliau kemudian memetik kata-kata Natsir berhubung nasib pekerja, antaranya: “Buruh itu bukan mesin yang mati, mereka manusia biasa sebagaimana kamu… Jika kamu berjanji untuk memberikan upahnya, bayarlah sebelum keringatnya kering”.

“Bicara orang agama selalu menyebut Islam meliputi dunia dan akhirat, syumul. Tetapi hak pekerja tidak disentuh. Di saat jarang ditemui tokoh Islam mebicarakan soal itu, Natsir membicarakannya,” katanya.