Kenapa perlu jemput Pulau Pinang tandatangan IBR, soal SPRM

Dzulkifli-Ahmad-sprm-ibr-pulau-pinang-benderaKUALA LUMPUR: Datuk Dzulkifli Ahmad hari ini mempersoalkan keperluan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjemput kerajaan Pulau Pinang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata, kerajaan negeri lain menandatangani IBR secara sukarela tanpa perlu dipelawa pihaknya.

“Kenapa Pulau Pinang pula nak kena jemput? Hebat betul Pulau Pinang ini. Saya pun hairan, terpulanglah dia nak buat ke tak nak buat,” katanya pada sidang media bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Majlis IBR di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.

Khamis malam lalu, Lim menafikan kerajaan Pulau Pinang enggan menandatangani IBR, sebaliknya SPRM yang tidak pernah menghubungi kerajaan pimpinannya untuk berbuat demikian.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan Pulau Pinang akan menandatangani IBR SPRM jika 10 cadangannya mengenai rasuah turut dimasukkan.

Pada 12 Julai lalu, kerajaan Pulau Pinang menyifatkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang dilaksanakan di negeri itu sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding menandatangani IBR.

 

Mengulas lanjut, Dzulkefli berkata, kerajaan negeri lain menunjukkan komitmen mereka menangani rasuah melalui IBR.

“Saya nak nyatakan di sini, ini menunjukkan komitmen dan keseriusan sesebuah negeri untuk menjalankan ikrar dan memastikan negeri tersebut bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli berkata, siasatan ke atas pembelian hotel 4 bintang di London oleh Felda Investment Corporation (FIC) masih dijalankan.

“Insya Allah…tunggu, akan ada lagi tangkapan dibuat,” katanya.

Ditanya sama ada SPRM akan membuka semula kertas siasatan berhubung pembelian kapal selam Scorpene pada 2002, beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.