Langgar 6 peraturan trafik, JPJ kaji heret terus ke mahkamah

Nadzri SironPETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mengkaji untuk memperluaskan senarai kesalahan jalan raya yang boleh didakwa terus ke mahkamah dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nadzri Siron yang dipetik Sin Chew Daily berkata, selain menyalahgunakan lorong kecemasan, JPJ sedang mengkaji 6 kesalahan utama lain iaitu menggunakan telefon bimbit, melanggar lampu isyarat, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong barisan dan di garisan berkembar, menggunakan lorong bas serta teksi, untuk dimasukkan dalam senarai itu.

Ketika ini, hanya pengguna yang melakukan 7 kesalahan utama itu pada musim perayaan akan dihadapkan ke mahkamah.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada agensi berkaitan seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan polis untuk mengkaji pelaksanaannya.

Katanya, JPJ memerlukan masa untuk menjalankan kajian itu bagi mengelakkan pertindihan hukuman, memandangkan kesalahan itu sudah disenaraikan dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).

“Di bawah sistem Awas, ada hukuman denda dan membatalkan lesen memandu, jika didakwa di mahkamah pun akan didenda…kami perlu selesaikan masalah ini,” katanya kepada akhbar itu.

Sistem Awas yang menggabungkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) mula dilaksanakan pada 1 April lalu.

Dalam tempoh lebih sebulan, sebanyak 38,174 saman dikeluarkan atas kesalahan memandu melebihi had laju dan 4,817 saman akibat melanggar lampu isyarat.

Nadzri berkata, kadar kesalahan memandu di lorong kecemasan berkurangan kepada hanya 211 kes, sejak JPJ mengambil tindakan tegas mendakwa pemandu ke mahkamah, termasuk melakukan Ops Hari Raya Aidilfitri pada 18 Jun hingga 2 Julai lalu.

Dahulu, pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan hanya perlu membayar saman RM300. Hukuman itu kemudian dinaikkan kepada maksimum RM2,000 atau penjara 1 tahun di bawah Kaedah 53(1) Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 dan Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1959.

 

JPJ pasang 50 lagi kamera Awas di seluruh negara

JPJ: Batal lesen jika kerap langgar lampu isyarat, pandu laju