Melayu seberang maju kerana tiada feudalisme dan ‘Islam jabatan’, kata pakar

faizal-tehrani

PETALING JAYA: Melayu di luar Malaysia lebih maju dan berdaya saing kerana tidak dibelenggu pemikiran feudal dan halangan pihak berkuasa agama yang “sempit”, menurut seorang pakar pengajian Melayu mengulas komen seorang pemimpin Umno baru-baru ini.

Felo penyelidik di Institut Alam dan Ketamadunan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Faizal Musa berkata diaspora Melayu berjaya “mencapai banyak kejayaan” kerana mereka tidak “dibendung” psikologi feudal dan tidak terikat dengan Islam yang sangat bergantung kepada perundangan.

“Bukan bermakna mereka tidak perlu menitik beratkan halal dan haram tetapi mereka tidak ditempurungkan oleh ‘Islam Jabatan’ atau ‘Islam Institusi’,” kata penulis dan sasterawan itu yang juga dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani.

Beliau mengulas catatan blog Bendahari Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak minggu lalu, mengenai kejayaan diaspora Melayu.

Faisal memetik pakar sosiologi tanah air, Syed Hussein Alatas yang mencirikan feudalisme yang ditanggung Melayu Nusantara, melalui eseinya 50 tahun lalu.

Dalam “Feudalisme in Malaysia Society: A Study in Historical Continuity”, Syed Hussein berkata ada 8 ciri masyarakat feudal yang masih belum diatasi orang Melayu, antaranya jurang besar kaya-miskin, orde politik dikuasai golongan pemerintah yang diwarisi cucu cicit, dan sistem ekonomi yang memutuskan kaum tani, di mana rakyat mengerjakan tanah dan memberikan hasilnya kepada kaum atas.

Seyyed Hussein berkata masyarakat juga berdepan hierarki di mana golongan elit terselamat daripada undang-undang, meskipun melakukan penyelewengan, dan “lapis pahlawan” yang menjadi benteng golongan berkuasa melaksanakan perintah mereka, di samping kuasa yang tidak saksama.

Minggu lalu, Salleh berkata orang Melayu perlu bersyukur mereka tergolong sebahagian daripada penduduk dunia berjumlah setengah bilion yang mempunyai jati diri.

“Kehebatan diaspora bangsa ini diiktiraf dunia. Bangsa ini sudah mampu menjadi duta Melayu global untuk terus bersaing dengan bangsa-bangsa lain di peringkat antarabangsa,” kata menteri komunikasi dan multimedia itu.

Menurutnya, diaspora Melayu terkenal dengan sifat rajin, berani dan berjiwa besar.

“Selain itu adalah faktor agama Islam, keterbukaan minda, pengamalan budaya dan bahasa Melayu yang turut menjadikan mereka hebat.”

Faisal berkata, suatu faktor kejayaan Melayu seberang ialah mereka bersaing dalam pasaran yang adil.

“Di sesetengah negara Barat, terdapat persaingan yang setara dan kurang perlu mempunyai ‘kabel’, ‘kroni’ dan ‘nepotisme’. Melayu seberang juga mempunyai kuasa pemutus sendiri dan tidak ditentukan kuasa atas.”

“Saya setuju dengan Salleh Said Keruak, Melayu seberang memang hebat kerana mereka tidak terbelenggu oleh beban psikologi feudal, dan tidak perlu melayan hal remeh temeh orientasi fekah atau legalistik yang menyebabkan mereka tidak boleh bergerak ke depan,” kata Faisal.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/21/bersyukurlah-jadi-melayu-bangsa-dunia-yang-hebat-kata-salleh/