Pengamal perubatan terjejas dengan isu halal haram vaksinasi

vaccine_600

KUALA LUMPUR: Keraguan sama ada vaksin halal atau tidak membawa kepada penentangan dalam kalangan pengamal perubatan, apabila sebahagian doktor dan jururawat menentang amalan vaksinasi.

Dr Rozita Rahman, pembantu pengarah di Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga di Kementerian Kesihatan berkata, sikap itu disebabkan maklumat salah mengenai kandungan vaksin.

Bercakap kepada FMT di pelancaran program kesedaran vaksinasi G25 hari ini, beliau berkata kementerian menjalankan sesi pendidikan kesihatan dan menambah jururawat atau doktor yang diketahui menentang vaksinasi akan menjalani sesi kaunseling.

“Para jururawat kebanyakannya menerima vaksinasi selepas menjalani kaunseling. Namun, masalah timbul apabila suami atau keluarga mereka masih ragu-ragu mengenainya,” katanya.

Rozita berkata pengamal perubatan dan orang ramai perlu berkongsi maklumat yang betul mengenai kepentingan vaksinasi.

“Ibu bapa yang datang ke hospital untuk mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak mereka akan dimaklumkan mengenai kandungan vaksin dan kepentingan vaksinasi.

“Jadi di sinilah mereka perlu memainkan peranan menyebarkan maklumat yang betul kepada keluarga mereka tentang kepentingan vaksinasi.”

Rozita berkata mengikut rekod kementerian, terdapat lebih 800 kes penolakan vaksinasi yang dilaporkan antara Januari dan Jun tahun ini.

Bekas ketua pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican, yang hadir semasa pelancaran itu, berkata isu ini bukan unik kepada Malaysia.

“Ini adalah isu global di mana golongan pembantah dan pentaksub agama tidak selesa dalam perkara vaksinasi,” katanya, dan menambah negara seperti Afghanistan, Nigeria dan Syria juga menghadapi cabaran sama.

Anggota G25 Dr Narimah Awin berkata, vaksinasi pilihan terbaik memerangi jangkitan maut apabila tiada alternatif lain.

Beliau menambah orang tidak sepatutnya menyamakan vaksin rotavirus yang mengandungi porsin atau DNA babi dengan vaksin lain.

“Dalam kes ini, vaksin lain tidak mengandungi porsin, hanya vaksin rotavirus.

“Walaupun sedemikian, ada alternatif lain untuk mencegah rotavirus, salah satunya dengan mengurus kebersihan.

“Tumpuan kami sekarang vaksin lazim yang diperlukan kanak-kanak kerana tidak ada alternatif lain.”

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010, serpihan DNA porcine circovirus (PCV1) ditemui dalam vaksin rotavirus yang dikenali sebagai Rotarix, sementara PVC1 dan porcine circovirus 2 (PCV2) dijumpai dalam vaksin lain yang dikenali sebagai RotaTeq.

Laporan itu mentakrifkan circovirus sebagai “virus haiwan dengan genom DNA kecil, bulat, dan tunggal” yang diketahui menjangkiti burung dan babi.

Ini bermakna vaksin berkenaan mengandungi DNA daripada virus yang menjangkiti babi.

Di majlis hari ini, G25 melancarkan 2 video yang secara langsung menyentuh mengenai kepentingan vaksinasi dalam usaha untuk mengekang penyebaran maklumat yang mengelirukan dan ketakutan yang tidak perlu berhubung amalan tersebut.

Video tersebut bertajuk “Apakah itu vaksin?” dan “Adakah vaksin itu haram dan sebabkan autisma?”

Video boleh ditonton di YouTube dan di laman web rasmi G25.