Tiada ketua hakim negara dari Sabah, Sarawak sejak 1963, kata DAP

Chong-Chieng-Jen-hakim-negara-sabah-sarawakKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuching mempertikaikan mengapa tiada hakim dari Sabah dan Sarawak dilantik ketua hakim negara sejak 1963, susulan kontroversi pelanjutan tempoh Hakim Tan Sri Md Raus Sharif hakim tertinggi badan kehakiman.

Chong Chieng Jen bertanya adakah ini kerana kedudukan hakim dari Malaysia Timur lebih rendah daripada hakim dari Malaysia Barat, atau ada sekatan tertentu dalam soal pelantikan hakim tertinggi negara.

“Adakah hakim dari Borneo langsung tidak layak dilantik sebagai ketua hakim negara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Kenyataan beliau itu lebih seminggu selepas Pejabat Perdana Menteri mengumumkan tempoh jawatan Tan Sri Md Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dilanjutkan untuk 3 tahun lagi mulai 4 Ogos ini pada 7 April lalu.

Bekas ketua hakim negara Datuk Abdul Hamid Mohamad berkata langkah mengekalkan Raus selepas persaraan boleh mewujudkan ketidaktentuan dalam kalangan hakim, sementara bekas presiden Badan Peguam Negara Zainur Zakaria berkata pengekalan Raus menghantar mesej para hakim lain di Mahkamah Persekutuan tidak cukup wibawa.

Gabungan pembangkang dijangka memasukkan usul untuk membatalkan pelanjutan perkhidmatan Raus itu, tidak lama selepas presiden Badan Peguam George Varughese berkata pihaknya khuatir langkah itu bukan tidak sahaja tidak berperlembagaan dan menjerumuskan penyandang ke dalam kontroversi.

Chong hari ini melihat pengekalan Raus sebagai berat sebelah buat Sabah dan Sarawak, justeru mencadangkan jawatan tersebut diberi kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, terutamanya apabila negara bakal menyambut hari Malaysia ke-54 16 September nanti.

Hakim besar Sabah dan Sarawak berada di kedudukan ke-3 tertinggi di Malaysia bersama Hakim besar Malaya, selepas ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.

“Ia adalah tarikh yang seharusnya Raus bersara. Richard berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Persekutuan lebih lama berbanding Raus,” kata Chong.

“Jika lepaskan peluang ini, kita perlu tunggu berdekad atau tidak ada lagi hakim Mahkamah Persekutuan dari Borneo yang mempunyai kedudukan tertinggi di Mahkamah Persekutuan.”

Chong mencadangkan agar satu mesyuarat meja bulat diadakan pada 3 Ogos depan untuk membincangkan cadangan pelantikan Richard.

“Saya turut mengajak semua ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak termasuk ahli parlimen Barisan Nasional bersama-sama,” katanya.

Md Raus dilantik ketua hakim negara, Ahmad Maarop hakim besar Malaya

Lanjut khidmat Md Raus canggah Perlembagaan, kata Kit Siang