Zahid: Bukan semua 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia

zahid-hamidi-banglaKUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendaftar dengan kerajaan mereka untuk bekerja di luar negara, bukannya datang ke Malaysia semata-mata.

Timbalan perdana menteri berkata, jumlah sebenar kemasukan warga Bangladesh ke Malaysia bergantung kepada keperluan syarikat tempatan.

“Tidak ada syarikat yang dilantik untuk membawa mana-mana mereka masuk. Melalui sistem atas talian, majikan memohon untuk mendapatkan pekerja berkenaan secara terus tanpa melalui ejen atau mana-mana syarikat,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang ingin tahu maklumat terperinci syarikat manakah yang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Zahid menafikan dokumentari media asing yang disiarkan baru-baru ini kononnya berjuta-juta pekerja asing tanpa dokumen bekerja di negara ini.

Katanya, hasil siasatan ke atas dokumentari itu mendapati rakaman berkenaan dilakukan 6 bulan lepas dan disiarkan secara bersiri.

“Masalah itu tidak timbul lagi setelah kerajaan mengadakan permohonan dalam talian bagi pendaftaran pekerja asing,” katanya menjawab soalan tambahan Wan Azizah mengenai laporan media asing itu.