Zaid gesa abaikan soal kaum, lantik Malanjum ketua hakim

Zaid-IbrahimPETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mendesak ahli Parlimen termasuk daripada Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak mencalonkan Tan Sri Richard Malanjum untuk jawatan ketua hakim negara.

Desakan itu berikutan kontroversi lanjutan tempoh perkhidmatan Tan Sri Md Raus Sharif untuk jawatan tertinggi badan kehakiman itu.

Zaid berkata hakim besar mahkamah Sabah dan Sarawak itu adalah calon yang paling layak untuk jawatan tersebut, sambil menambah latar belakang etniknya tidak harus dijadikan penilaian.

“Richard adalah contoh hakim yang layak mendapat jawatan tertinggi itu.

“Dia tidak boleh dipintas hanya kerana dia beragama Kristian atau kerana dia bukan orang Melayu,” kata Zaid.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mempertikaikan mengapa tiada hakim dari Sabah dan Sarawak dilantik ketua hakim negara sejak 1963, susulan kontroversi pelanjutan tempoh Raus.

Chieng Jen bertanya adakah ini kerana kedudukan hakim dari Malaysia Timur lebih rendah daripada hakim dari Malaysia Barat, atau ada sekatan tertentu dalam soal pelantikan hakim tertinggi negara.

“Adakah hakim dari Borneo langsung tidak layak dilantik sebagai ketua hakim negara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Zaid berkata pelantikan Richard akan menjadi bukti prinsip kesaksamaan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang membawa masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan.

Beliau berkata kerajaan Sarawak tidak ada keperluan untuk mengadakan rombongan ke London untuk mendapatkan fakta MA63, sekiranya penduduk Malaysia Timur masih takut untuk menuntut hak mereka.

“Ia berada di tangan anda. Semangat MA63 adalah kesamaan dan saling menghormati,” kata Zaid.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Sarawak menghantar pasukan undang-undang dalam misi pencarian fakta ke United Kingdom untuk mengkaji dokumen yang berkaitan dengan MA63, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menuntut hak Sarawak di bawah Persekutuan.

 

Tiada ketua hakim negara dari Sabah, Sarawak sejak 1963, kata DAP