5 rakyat Malaysia terlibat sindiket palsu di Singapura

credit-card

SINGAPURA: Lima anggota sindiket kad kredit palsu transnasional dikenakan hukuman penjara antara 17 hingga 44 bulan kerana memilki kad dan dokumen pengenalan diri palsu serta menipu, lapor The Straits Times malam tadi.

Menurut laporan itu 4 rakyat Malaysia disabitkan kesalahan antara 9 Mac dan 19 Julai tahun ini kerana melakukan pembelian haram dengan menggunakan kad kredit palsu.

Seorang lagi anggota berumur 48 tahun disabitkan kesalahan pada 19 Januari kerana memiliki kad kredit dan dokumen pengenalan diri palsu.

Menurut kenyataan polis Singapura, mereka menerima maklumat pada 25 Julai tahun lepas di mana pembelian itu dibuat dengan kad kredit palsu.

Mereka menangkap Chan Yew Choon, 23, Chong Li Hsien, 30, dan Wong Ban Kuean, 47, di stesen MRT Orchard pada hari yang sama.

Sejumlah dokumen pengenalan diri, kad palsu dan barang-barang bernilai kira-kira S$23,000 (RM72,220), belian menggunakan kad palsu dirampas.

Selepas siasatan, kata laporan itu, polis mengesan identiti 2 rakan subahat mereka – Cheah Wei Yong, 44, dan Law Thin Poh, 48, yang ditangkap mereka di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 19 Ogos tahun lepas.

Empat kredit kad palsu dan 1 dokumnen pengenalan tiruan didapati dalam milik Law.

Semua mereka menganggotai sindiket yang sama.

Mereka yang disabitkan kesalahan memiliki kad kredit palsu atau lain-lain dokumen keselamatan bernilai yang palsu boleh dikenakan penjara hingga 15 tahun dan denda.

Mereka yang sabit kesalahan menipu boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda, kata laporan itu.