DAP: Tamatkan khidmat orang tengah dalam isu pekerja asing

Charles-Santiago-warga-asingKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa kerajaan menamatkan perkhidmatan orang tengah dalam proses pengambilan pekerja asing.

Wakil rakyat DAP itu berkata, keadaan itu berada di tahap tidak terkawal kerana orang tengah mula menjadikannya peluang perniagaan demi mengaut keuntungan lebih.

“Kerajaan harus menghentikan peranan dimainkan orang tengah, agensi pekerjaan swasta dan broker yang menguruskan pekerja asing. Ini kerana membawa masuk pekerja asing sudah menjadi peluang perniagaan.

“Jadi, tidak mengejutkan jika pekerja asing ini dibawa masuk melebihi jumlah diperlukan,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, stesen televisyen asing, Al Jazeera menerusi program 101 East menerbitkan dokumentari bertajuk “Malaysia’s Migrant Money Trail”.

Dokumentari itu memetik beberapa ejen yang mengakui mereka membayar pegawai Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen untuk membawa masuk pekerja asing ke Malaysia.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dokumentari yang disiarkan baru-baru ini kononnya berjuta-juta pekerja asing tanpa dokumen bekerja di negara ini.

Beliau berkata, hasil siasatan ke atas dokumentari itu mendapati rakaman berkenaan dilakukan 6 bulan lepas dan disiarkan secara bersiri.

Katanya, bukan semua 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendaftar dengan kerajaan mereka untuk bekerja di luar negara, datang ke Malaysia semata-mata kerana jumlah sebenar kemasukan warga Bangladesh ke Malaysia bergantung kepada keperluan syarikat tempatan.

“Tiada satu syarikat pun dilantik untuk membawa masuk mana-mana pekerja Bangladesh kerana sistem dalam talian memerlukan majikan memohon pekerja asing terus tanpa ejen atau syarikat,” kata Zahid yang juga menteri dalam negeri.

Charles bagaimanapun kecewa dan terkejut dengan kenyataan Zahid yang menurutnya tidak serius dengan pendedahan Al Jazeera.

“Saya lihat ini tidak bertanggungjawab. Ia juga mengejutkan apabila menteri dalam negeri begitu mudah menepis masalah yang serius ini. Bahkan ia bukti berlaku gejala rasuah dalam kakitangan kerajaan.

“Kurangnya ketelusan dalam perjanjian persefahaman di antara kerajaan turut menyebabkan pekerja asing dikenakan caj berlebihan oleh broker tidak bertanggungjawab,” dakwanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/24/zahid-bukan-semua-1-5-juta-pekerja-bangladesh-ke-malaysia/