Isteri Pastor Koh mengharap maklumat terkini suaminya

Susanna-Liew-Sow-Yoke_Raymond-Koh_new_6001PETALING JAYA: Isteri Pastor Raymond Koh yang diculik sekumpulan orang tidak dikenali 5 bulan lalu berharap polis akan menghubunginya untuk memberikan maklumat terkini berhubung kehilangan suaminya.

Susanna Liew Sow Yoke berkata beliau masih belum diberitahu mengenai kaitan kehilangan suaminya dengan kumpulan di selatan Thailand, seperti mana diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

“Seperti semua orang di Malaysia, saya pun tahu melalui apa yang saya baca dalam media,” katanya beberapa jam selepas sidang media Khalid.

“Saya harap polis akan menghubungi saya tidak lama lagi untuk mengaturkan mesyuarat dan memberi saya maklumat terkini mengenai kes suami saya.

“Maklumat kemas kini ini juga mesti mengandungi penjelasan penuh mengenai pengumuman yang dibuat pada 6 April dan 24 Mei,” katanya.

Liew berkata pertemuannya dengan polis sebelum ini kurang maklumat kemas kini, sebaliknya beliau diminta tidak terlibat dengan media atau menghadiri perhimpunan vigil.

Beliau juga menggesa pihak polis untuk bekerjasama dengan penyiasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan Koh dan 3 individu lain.

Tiga lagi individu yang hilang secara misteri ialah pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, Amri Che Mat yang hilang sejak 24 November tahun lalu, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Hilmi yang terakhir dilihat pada 30 November tahun lepas.

Khalid berkata polis sedang menyiasat sama ada kehilangan Koh ada kaitan dengan kumpulan selatan Thailand.

Beliau berkata siasatan itu dikaitkan dengan operasi bulan lalu apabila polis menyerbu rumah seorang suspek pengedar dadah di Kampung Weng Dalam, Kedah, pada 17 Jun.

Khalid berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan polis Thailand berkenaan perkara itu.

Koh, 62, dilapor diculik ketika beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya pada 13 Februari.

Rakaman video menunjukkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan terlibat dalam kejadian pada waktu siang itu yang berlaku di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya .

Kenderaan SUV diiringi sekurang-kurangnya 1 kereta lain dan beberapa motosikal yang mengawal lalu lintas sewaktu penculikan berlaku.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/25/polis-sahkan-kehilangan-pastor-koh-ada-kaitan-kumpulan-selatan-thai/