Isu vaksin rabies: Ahli Parlimen DAP diarah keluar Dewan

Julian-Tan-rabies-vaccineKUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen pembangkang diarahkan keluar Dewan hari ini selepas bertegas menteri kesihatan cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan menyatakan bekalan vaksin rabies mencukupi.

Julian Tan (DAP-Stampin) membangkitkan isu itu di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) selepas Datuk Seri Dr S Subramaniam menjelaskan bekalan vaksin rabies di negara ini mencukupi.

Tan berkata, menteri itu memberi kenyataan bercanggah kepada Dewan.

“Kenyataan bercanggah diberikan. Jika boleh, beri saya peluang menjelaskannya,” kata Tan.

Bagaimanapun, beliau dicelah Timbalan Speaker, Datuk Seri Ronald Kiandee yang menyatakan menteri itu tidak memberi sebarang kenyataan bercanggah.

Tan mempersoalkan campur tangan Ronald dengan berkata: “Tetapi, kamu tidak dengar soalan saya. Tadi menteri kata ada cukup vaksin, tetapi sebenarnya tidak ada.”

Susulan itu, Kiandee berkata: “Saya mengarahkan tidak ada pelanggaran perintah tetap.”

“Anda harus faham apa itu 36 (12). Duduk. (Untuk dilaksanakan) menteri perlu terus mengulanginya dengan niat buruk.

“Sebab itulah saya minta anda duduk. (Menteri) tidak melanggar sebarang peraturan,” kata Kiandee.

Tan bertegas dengan hujahnya: “(Menteri) kata ia terkawal, tetapi semua tidak terkawal.”

Kiandee menjawab: “Anda tidak waras.”

Kiandee kemudian meminta Tan meninggalkan Dewan selepas beliau terus mengemukakan soalan di bawah perintah tetap itu.

Perintah Tetap 36 (12) menyatakan mana-mana ahli yang menyangkal kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat dianggap menghina Dewan dan anggota itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan untuk kesalahan itu.

Terdahulu, Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) berkata, ada banyak anjing liar di kawasannya.

“Tidak ada tenaga kerja mencukupi untuk menangkap anjing liar dan doktor enggan memberikan globulin imun kepada mereka yang digigit anjing,” kata Chong.

Beliau merujuk 1 kes semalam di mana seorang bekas adun Sarawak pergi ke sebuah hospital 3 kali, namun doktor tidak memberi suntikan rabies kepadanya.

“Sebaik sahaja anda dapat mengesan gejalanya, mangsa tidak dapat diselamatkan. Adakah terdapat vaksin mencukupi?” katanya.

Dr Subramaniam sebelum ini memberitahu Dewan yang doktor tumpu kepada rawatan.

“Dari perspektif sains, jika gigitan itu baru, ia berkesan untuk memberikan globulin imun.

“Doktor perlu merawat berdasarkan sains. Kami tahu vaksin rabies mempunyai kesan sampingan, jadi doktor perlu membuat keputusan.”

Terdahulu, Dr Subramaniam menyifatkan isu rabies di Malaysia terkawal.

Pada 22 Julai lalu, Kementerian Kesihatan menyangkal beberapa laporan media mendakwa ia tidak mempunyai vaksin anti-rabies di Sarawak, susulan penularan wabak itu di Serian baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian sentiasa memastikan semua negeri mempunyai vaksin mencukupi setiap masa sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk di Hospital Umum Sarawak.

Beliau berkata, kementerian sudah mengenal pasti 624 kes gigitan haiwan dari 1 April sehingga sekarang. Daripada jumlah itu, 108 kes menjalani ujian dan pemeriksaan, sementara 115 tidak memenuhi kriteria petunjuk pemvaksinan.

“Sebanyak 401 kes menunjukkan tanda untuk pemvaksinan dan daripada jumlah itu, sebanyak 395 (98.5%) kes diberikan suntikan, manakala baki 6 akan diberikan suntikan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.