Jangan pesong fakta rabies, pesan menteri pada pembangkang

dr-subramaniam-rabiesKUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam memberi amaran kepada pembangkang dari Sarawak agar tidak memperbesarkan isu wabak rabies atau anjing gila.

Beliau berkata, ada ahli parlimen pembangkang cuba memesongkan fakta kononnya vaksin digunakan terhadap manusia dan anjing di 20 kawasan positif wabak itu tidak mencukupi.

“Vaksin yang diberikan kepada manusia dan haiwan adalah berbeza dan diberikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Isu kekurangan vaksin tidak timbul dan tuduhan kita berikan maklumat salah juga tidak benar,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Subramniam berkata, pembangkang cuba menjadikan isu wabak anjing gila sebagai modal politik dan mencipta persepsi buruk kononnya doktor yang ditugaskan tidak mahu berikan vaksin.

“Jika seseorang itu digigit anjing ketika berada dalam kawasan positif rabies, mereka akan diberikan vaksin dengan segera tetapi jika bukan dalam kawasan berkenaan, ia mengikut pertimbangan doktor,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 8,000 bekalan vaksin dihantar ke Sarawak dan kini berbaki 6,000 memandangkan 2,000 sudah digunakan kepada mereka yang digigit anjing.

“Vaksin yang diberikan kepada haiwan pula dilakukan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

“Mengikut maklumat yang kita dapat, sebanyak 17,800 ekor haiwan sudah diberikan vaksin, kebanyakannya haiwan peliharaan,” katanya.

Semalam, mangsa ke-5 wabak rabies meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS). Mangsa, Tinding Lambang, 52, meninggal pada 10.43 malam.

Sebelum ini, 2 beradik, Monica Mazlan, 6 dan Jackson Mazlan, 4, meninggal dunia pada 4 Julai, manakala mangsa ke-3, Alicesa Lorenna Nody, 7, Gedong meninggal dunia pada 13 Julai dan mangsa ke-4, Florancesia Edward, 5, meninggal dunia pada 17 Julai.

Beliau menambah, 20 kawasan di 3 bahagian iaitu Serian, Sri Aman dan Kuching akan terus dipantau dan hanya akan diisytiharkan bebas dari wabak tersebut jika tiada kes berlaku dalam tempoh 2 tahun.

“Sebelum boleh diisytiharkan bebas dari rabies, tempoh ditetapkan adalah selama 2 tahun. Jika tidak ada kes yang berlaku terhadap manusia atau haiwan, barulah secara rasmi kawasan itu boleh diisytiharkan bebas,” katanya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/24/mangsa-ke-5-rabies-meninggal-dunia/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/23/sarawak-isytihar-2-lagi-kawasan-wabak-rabies/