JPJ tak perlu buat rombakan besar

Ab-Aziz-Kaprawi-jpj-rombakanPUTRAJAYA: Tiada keperluan melakukan rombakan besar-besaran dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan pertukaran 2 pegawai kanan jabatan itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

“Tiada rombakan, hanya mengisi tempat yang kosong sahaja,” katanya pada Majlis Penghargaan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Operasi Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan, hari ini.

Beliau ditanya jika JPJ akan melakukan rombakan besar-besaran susulan pertukaran Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPJ, Datuk Yusoff Ayob dan Pengarah Penguatkuasanya, Datuk V Valluvan Veloo ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa Jumaat lalu.

Menurut laporan, pertukaran Yusoff dipercayai mempunyai kaitan dengan kes mahkamah yang dihadapinya berhubung penggunaan lorong kecemasan, manakala pertukaran Valluvan dipercayai ada kaitan dengan insiden pembabitan 3 anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ dalam kes pecah masuk pejabat Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron pada 13 Julai lepas.

Mengenai 3 anggota PTK terbabit, Aziz berkata, tindakan terhadap mereka akan diputuskan JPA dan polis masih menyiasat kes berkenaan.

“Oleh kerana ia kes jenayah, polis akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Aziz berkata, 1 modul pendidikan keselamatan jalan raya baharu untuk sekolah rendah dan menengah akan dikeluarkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) tahun depan.

Menurutnya, modul itu yang akan dijadikan sisipan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu diperkukuhkan lagi dengan info grafik dan praktikal serta sesuai dengan situasi di negara ini.

Aziz berkata, modul sedia ada yang diguna pakai sejak 10 tahun lepas mengikut modul Australia yang tidak lagi sesuai dipraktikkan di negara ini.

“Pendidikan keselamatan jalan raya sangat penting bagi melahirkan masyarakat berdisiplin dan memahami keperluan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Selain JKJR, turut terlibat dalam pembentukan modul baharu itu ialah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/24/2-pegawai-kanan-jpj-dipindah-ke-jpa-secara-mengejut/