Selangor tak setuju cukai pelancongan

elizabeth-wong_pelancong_china_600

SHAH ALAM: Selangor tidak bersetuju dengan pelaksanaan cukai pelancongan yang ingin dilaksanakan kerajaan persekutuan, dan berkata ia berpotensi mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi negeri itu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata cukai itu tidak sesuai dilaksanakan buat masa ini kerana industri pelancongan negara sedang meningkat dan inflasi pada paras tinggi.

“Pengenalan cukai ini juga berisiko melembabkan aktiviti ekonomi dan menjejaskan pendapatan rakyat terutamanya pengiat industri perhotelan dan hospitaliti yang membantu menyumbang peningkatan industri pelancongan.

“Kedua kenaikan kos lawatan untuk melancong, pengenalan cukai itu menyebabkan kenaikan mendadak pelbagai kos melibatkan elemen percutian seperti kos penginapan, pakej lawatan, acara berkumpulan dan kos pengangkutan.

“Ketiga memberi kesan kepada harga bilik dan menyebabkan kedatangan pelancong ke Selangor terjejas,” katanya menjawab soalan Adun Balakong, Ng Tien Chee berhubung pelaksanaan cukai pelancongan.

Cukai itu, pada kadar RM2.50 hingga RM20 untuk penginapan semalaman, diumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz pada 27 Jun lalu.

Nazri dilaporkan berkata, penangguhan itu disebabkan sistem cukai pelancongan yang belum bersiap sedia sepenuhnya.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang menginap di hotel bertaraf 3 bintang dan ke bawah dikecualikan daripada cukai itu.

Pelaksanaan cukai pelancongan yang sepatutnya bermula 1 Julai lalu dipersoalkan banyak pihak, termasuk Sarawak dan Sabah. Dewan Rakyat meluluskan Akta Cukai Pelancongan 2017 pada April lalu.

Elizabeth berkata Selangor masih belum mendapat sebarang penerangan dan maklumat lanjut secara rasmi berkaitan pelaksanaan cukai pelancongan oleh kerajaan pusat dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, Selangor juga mengesyorkan kerajaan persekutuan menjalankan kajian yang lebih terperinci, khusus bagi mengetahui kesan berangkai daripada pelaksanaan cukai itu kepada industri berkait pelancongan.

“Dasar yang singkat jika dilakukan tidak berjaya,” katanya.