Ahli Parlimen DAP gesa Najib bantu peneroka Gatco

Charles-Santiago-peneroka-gatcoKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa kerajaan membela nasib dan kepentingan peneroka di Kampung Gatco, Bahau, Negeri Sembilan yang didakwanya dilayan seperti penjenayah.

“Mereka adalah golongan miskin yang menghabiskan masa, tenaga dan keringat untuk membangunkan tanah yang mereka percaya milik mereka.

“Kerajaan sekurang-kurangnya perlulah berunding, cari penyelesaian munasabah yang tidak membebankan dan merugikan penduduk kampung,” kata wakil rakyat DAP itu pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.

Peneroka mula mengambil tindakan undang-undang pada 2013 dengan menyaman Thamarai Holdings Sdn Bhd berhubung isu tanah itu.

Pada 1977, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC) memajak tanah itu kepada Great Alonioners Trading Corporation Bhd, syarikat pelaburan dengan lebih 400 penduduk untuk memajukan ladang getah.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) yang memiliki Gatco, kemudian menukar tanah itu
kepada skim tanah untuk ahlinya, di mana mereka masing-masing membayar RM7,600 sebagai deposit sebelum bekerja di tanah itu.

Skim itu bagaimanapun gagal dan Gatco terpaksa membuat pinjaman daripada 2 syarikat kewangan. Gatco diisytiharkan muflis pada 1996 dan Thamarai membeli tanah itu pada 2006, selepas menjalani proses penyelesaian, tindakan yang kemudian dicabar peneroka.

Percubaan mereka ditolak Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rayuan ketika menyemak semula keputusan itu pada 2014, mengarahkan tuntutan mahkamah itu dibicarakan semula. Keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Thamrai.

November lepas, peneroka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan mendapatkan tanah dipertikaikan itu.

Pada 18 Julai lalu, 28 peneroka termasuk 10 wanita direman 3 hari kerana cuba menghalang beberapa lori kayu balak Thamarai meninggalkan kawasan seluas 4,700 ekar itu. Mereka dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Seremban menolak perintah reman 3 hari diberikan Mahkamah Majistret Bahau, Rabu minggu lalu.

Mengulas lanjut, Charles mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak menunaikan janjinya untuk melindungi hak dan kepentingan kaum India ketika pelancaran Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB), April lalu.

“Di sini, saya seru perdana menteri masuk campur dalam urusan Kampung Gatco ini. Jika tidak ada sebarang usaha dilakukan, boleh disimpulkan MIB hanyalah retorik politik,” katanya.

Pada 23 April lepas, Najib melancarkan MIB sebagai dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan komuniti India di negara ini untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Antara program itu ialah skim dana saham RM500 juta untuk isi rumah berpendapatan rendah, bantuan khas meningkatkan kemasukan pelajar India ke institusi pengajian tinggi, meningkatkan penyertaan orang India dalam perkhidmatan awam dan sistem kelulusan khas bagi membantu orang India yang lahir di Tanah Melayu sebelum 1957 mendapatkan taraf kewarganegaraan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/24/orang-india-mahu-hak-peluang-sama-rata-bukan-pelan-tindakan/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/19/penduduk-nekad-pertahan-ladang-getah-walau-berdepan-tangkapan/