DAP: Apa status Ops Gopi selepas ikrar anti-rasuah polis

Gobind-Singh-DeoPETALING JAYA: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, tiada makna polis menandatangani ikrar anti-rasuah jika siasatan terhadap kakitangan sendiri tidak mencukupi.

Beliau merujuk majlis lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai Tan Sri Khalid Abu Bakar di depan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dengan matlamat sifar rasuah.

Beliau berkata, pasukan polis melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Bukit Aman akan memastikan setiap anggota dan pegawai polis mengekalkan tahap integriti tertinggi, dan beberapa langkah diambil jabatan itu untuk memantau rasuah dalam pasukan berkenaan.

Gobind berkata, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan melibatkan kakitangan polis dengan cepat dan berkesan.

“Dengan hormatnya, ketua polis negara perlu terlebih dahulu beritahu kami perkembangan siasatan ‘Ops Gopi’. Kedua-dua ketua polis negara dan ketua SPRM perlu membuat penjelasan.

“Polis menandatangani ikrar tetapi pada masa sama senyap dan tiada pengumuman mengenai siasatan utama ini di Bukit Aman,” katanya.

Ops Gopi merujuk serbuan anti-rasuah SPRM ke atas pusat judi dan rumah urut di Melaka yang bermula Mei lalu, dengan beberapa anggota polis ditahan.

Gopinathan Krishnan ialah salah seorang suspek ditangkap SPRM. Dia disyaki menjadi “perantara” utama antara polis dan kegiatan judi serta rumah urut haram di Melaka.

Pada 19 Julai lalu, SPRM menafikan ia membatalkan siasatan kes itu.

Gobind yang juga pengerusi Biro Undang-Undang DAP berkata, polis perlu memberi jaminan kepada orang ramai, mereka akan menjalankan siasatan ke atas anggota sendiri tanpa rasa takut atau memihak kepada sesiapa.

“Apa maknanya ikrar, jika seseorang tidak bertindak seiring dengannya?

“Ini berkaitan kepentingan awam. Ia sangat penting untuk kita meyakinkan orang ramai tidak ada sebab untuk meragui pegawai penguatkuasa jika kita yakin dengan Bukit Aman,” katanya.