DAP bantah firma audit PKF pemerhati pemilihan semula CEC

G-Asoghan-pkfBUTTERWORTH: Anggota perwakilan DAP yang layak mengundi dalam pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu membantah pelantikan firma audit PKF sebagai pemerhati bebas semasa proses pemilihan nanti.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar G Asoghan mendakwa firma audit berkenaan dipilih sendiri oleh pimpinan DAP yang tidak sah dan ia boleh menimbulkan elemen curiga terhadap pemilihan semula itu.

“Kami berpandangan mana-mana badan yang ada hubungan dengan pimpinan kini tidak boleh dianggap sebagai badan bebas.

“Kami tegas dengan pendirian kami supaya badan bebas lain dipilih untuk mengendalikan pemilihan semula CEC agar lebih telus, terbuka dan bebas supaya keputusannya nanti tidak dipertikai lagi,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak mahu tahap keyakinan rakyat terhadap DAP terhakis kerana sikap angkuh barisan pimpinan haram yang tidak mengendahkan suara anggota di peringkat akar umbi.

Asoghan turut menegaskan semua anggota parti kini mempunyai hak yang sama rata dan Lim Guan Eng sendiri sudah tidak layak bergelar setiausaha agung parti kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengeluarkan arahan untuk mengadakan pemilihan semula CEC.

Jumaat lepas, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok berkata parti itu akur dengan arahan JPPM supaya mengadakan semula pemilihan CEC dan menggunakan senarai 2,576 perwakilan yang digunakan pada pemilihan 15 Disember 2012 serta melantik juruaudit bebas untuk memantau dan mengendalikan pemilihan semula itu.

DAP juga difahamkan melantik sebuah firma audit bebas PKF Consulting, untuk mengadakan pemilihan semula itu.