Kekurangan pendidikan seks punca bayi dibuang

Madeleine-Yong-pembuangan-bayiPETALING JAYA: Sebanyak 700 bayi dibuang antara 2010 dan 2016, dan seorang aktivis hak asasi kanak-kanak menyalahkan kekurangan pendidikan seks punca perbuatan itu.

Madeleine Yong, yang mengasaskan Protect and Save The Children (PS The Children), sebuah NGO yang menangani masalah seksual kanak-kanak, berkata walaupun Kementerian Pendidikan mempunyai kurikulum kesihatan reproduktif, namun guru perlu dilatih dengan baik untuk mengajar mata pelajaran itu.

“Ibu bapa dan guru perlu memahami yang kita tidak mengajar remaja cara melakukan hubungan seks, tetapi untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan untuk melindungi diri mereka sendiri.

“Akhirnya, ini adalah perubahan sistemik. Mereka perlu membuat ia wajib untuk melatih para guru.”

Yong berkata NGO itu sanggup membantu melatih para guru kerana ia mempunyai pengalaman dalam hal ini.

Beliau berkata, beliau pernah bekerja dengan remaja yang pernah hamil di pusat pemulihan. Mereka diserang secara seksual atau diperkosa, dan akhirnya menyebabkan bayi yang lahir dibuang.

Yong berkata dengan internet, remaja mendapat banyak maklumat mengenai seks, tetapi tidak belajar tentang bahaya yang berkaitan dengannya, termasuk kehamilan yang tidak diingini.

Pegawai komunikasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Tan Heang Lee, berkongsi pendapat Yong yang Kementerian Pendidikan mesti melaksanakan pendidikan seks komprehensif dan berasaskan bukti sebagai subjek tunggal di sekolah.

Tan berkata pendidikan seks mesti meliputi aspek biologi dan psiko-sosial seks, di mana mereka perlu belajar mengenai kontraseptif, jangkitan seksual, keizinan, hubungan yang sihat, keganasan, dan sebagainya.

“Ada salah tanggapan terhadap pendidikan seks kononnya ia menggalakkan anak-anak muda mengadakan hubungan seks.

“Sebaliknya, pendidikan seks menggalakkan golongan muda untuk membuat keputusan yang bertanggungjawab dan bermaklumat tentang kesihatan seksual mereka,” kata Tan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan perlu meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif, termasuk alat kontraseptif, kerana penggunaan alat kontraseptif di Malaysia di bawah purata Asia Tenggara.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2015, hanya 57% orang yang sudah berkahwin atau wanita berpasangan di Malaysia, berumur 15 hingga 49 tahun, menggunakan kontraseptif, berbanding dengan 64% di Asia Tenggara.

Sementara itu, 15% daripada wanita Malaysia yang sudah berkahwin atau berpasangan, berumur 15 hingga 49 tahun, mempunyai keperluan untuk merancang keluarga, berbanding 12% di Asia Tenggara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Siti Rohani Abdul Karim memberitahu Dewan Rakyat semalam, 91 kes bayi dibuang dilaporkan pada 2010, diikuti 98 kes 2011, 89 kes 2012, 90 pada 2013, 103 pada 2014, 111 dalam 2015 dan 115 pada 2016.

Kebanyakan bayi dibuang dilapor di Selangor (dengan 157 kes), diikuti Sabah dan Johor (masing-masing dengan 84 kes), Kuala Lumpur (65) dan Sarawak (dengan 49 kes).

Beliau menambah kini terdapat 8 hospital dan sebuah NGO bernama Orphan Care yang menyediakan kemudahan pelindung bayi (baby hatch).

Menteri menjawab soalan lisan dari Teo Nie Ching (DAP-Kulai).