Lanjut tempoh Raus bukti diskriminasi ke atas Sabah, Sarawak

chong-sabah-sarawak-raus-sariff

KUALA LUMPUR: Terdapat “siling kaca” yang menghalang hakim Sabah dan Sarawak daripada memegang jawatan kehakiman tertinggi negara, kata ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), di mana semua anggota berkongsi pemerhatian sama.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, mereka mencapai kesimpulan itu selepas mendapati jawatan ketua hakim negara hanya diberi kepada hakim dari Malaysia Barat sejak 5 dekad lalu.

“Unsur diskriminasi terhadap Sabah dan Sarawak lebih jelas dalam hal menafikan jawatan ketua hakim negara kepada Richard Malanjum, dengan melanjutkan tempoh Tan Sri Raus Sharif.”

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu bercakap semasa perbincangan meja bulat tentang pelanjutan tempoh Raus di kompleks Parlimen hari ini.

Bagi menekankan hujah “siling kaca” beliau, Chong bercakap mengenai pakciknya, Tan Sri Chong Siew Fai, yang merupakan bekas ketua hakim bagi Sabah dan Sarawak.

“Itu tahap maksimum yang beliau boleh pergi,” katanya.

Beliau juga melabelkan pelanjutan tempoh Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai “tidak berperlembagaan”. Ini kerana kedua-duanya sudah melepasi umur 66 tahun, katanya.

Selain itu, pelanjutan tempoh itu akan menghalang pertumbuhan kerjaya sekurang-kurangnya 8 hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk Malanjum, yang lebih kanan daripada Raus, kata Chong.

“Diskriminasi sedemikian tidak seiring dengan semangat rakan kongsi antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Menjelang sambutan Hari Malaysia ke-54, ia akan menjadi peringatan bermakna kepada semua tentang semangat ‘rakan kongsi setaraf’ di bawah MA63 yang sekian lama tidak dipedulikan.”

Kenyataan Chong disokong Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong yang berkata tidak cukup seorang rakyat Malaysia Timur tidak akan berpeluang menjadi perdana menteri.

Kini, mereka juga tidak berpeluang menjadi ketua hakim, katanya, dan mendakwa semua janji “rakan kongsi setaraf” yang dibuat di bawah MA63 nampaknya dimungkiri.

“Kami seperti warga kelas ke-3,” katanya.

Susulan itu, sudah tiba masanya para pemimpin Sabah dan Sarawak melancarkan petisyen menyeru bukan sahaja untuk kuasa autonomi yang lebih luas bagi kedua-dua negeri, tetapi juga dilayan sebagai rakan kongsi setaraf, kata Wong.

“Semua warganegara mesti menandatangani petisyen itu, termasuk parti tempatan. Jika mereka tidak menandatangani, maka mereka tidak serius mengenai kuasa autonomi.

“(Kegagalan menjadi ketua hakim) bukan hanya tidak adil kepada Malanjum, tetapi juga kepada semua hakim kanan lain,” katanya.

Pelanjutan tempoh Raus dikritik pengamal undang-undang, di mana peguam senior dan bekas hakim tertinggi mempersoalkan keperlembagaannya.

Pada 7 Julai lalu, kerajaan mengumumkan Agong meluluskan nasihat bekas ketua hakim Tun Arifin Zakaria melantik Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri berkata Agong mengekalkan Raus dan Zulkeflki atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang bersidang pada Mei.

Perkhidmatan Raus dilanjutkan 3 tahun mulai 4 Ogos sementara Zulkefli kekal untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.

Malanjum dari Sabah dilantik hakim Mahkamah Persekutuan pada 2004 dan dilantik ke kedudukannya sekarang ini pada 2006, mengatasi kekananan Raus yang dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada 2009.

Beliau akan bersara Oktober tahun depan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/24/bekas-hakim-malanjum-boleh-diangkat-jika-ketua-hakim-tolak-pelanjutan/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/24/tiada-ketua-hakim-negara-dari-sabah-sarawak-sejak-1963-kata-dap/