PH perlukan tsunami wanita, kata penganalisis politik

maszee-malik-ph-3

SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik menasihatkan Pakataan Harapan supaya menumpukan usaha menarik sokongan pengundi wanita jika mahu memenangi pilihan raya umum ke-14.

Bercakap di forum mengenai PH dan BN di Kumpulan Media Karangkraf hari ini, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Maszlee Malik tidak bersetuju PH perlu tumpu pada undi orang Melayu.

Ini kerana lebih separuh daripada mereka yang mengundi pada PRU-13 terdiri daripada wanita dan majoriti wanita mengundi BN.

“Melihat PRU-13, kita nampak 52% daripada mereka yang mengundi adalah wanita dan 70% daripada mereka mengundi BN,” katanya. “Tsunami yang PH perlukan ialah tsunami wanita.”

Baru-baru ini, aktivis Hishamuddin Rais, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1984 di zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata bekas perdana menteri itu terbukti memberi kelebihan dalam usaha menawan hati pengundi Melayu luar bandar.

Beliau berkata pemimpin pembangkang lain sebelum ini tidak dapat menjejakkan kaki ke dalam kawasan Felda. “Ini akan menghasilkan tsunami yang PH mahu,” katanya.

Maszlee berkata bukan mudah untuk meyakinkan majoriti wanita mengundi menentang BN, dengan mendakwa majoriti wanita tidak celik politik seperti lelaki. Justeru, kemungkinan besar mereka akan mengundi status quo, katanya.

Beliau berkata apa yang boleh dilakukan PH ialah tumpu kepada isu yang paling dekat dengan hati wanita, iaitu sebahagian besarnya isu sara hidup.

“Wanita yang menjaga seisi rumah.

“Mereka bimbang isu seperti harga sayur-sayuran dan ikan, dan kenaikan harga minyak.

“Kalau kamu mahu memikat mereka, kamu perlu bawa kempen mengenai kenaikan kos sara hidup.”

Maszlee berkata walaupun PPBM menampilkan beberapa tokoh terkemuka, ia tidak mempunyai ikon wanita.

Bagaimanapun, pensyarah Universiti Utara Malaysia Prof Azizuddin Mohd Sani tidak bersetuju dengan pandangan rakan sejawatnya.

Beliau berkata golongan anak muda penentu PRU-14.

“Pengundi atas pagar ialah anak muda. Kalau kamu mahu menang, kamu perlu pastikan anak muda mengundi kamu.”

Beliau juga mendakwa usaha yang dilakukan BN lebih baik berbanding PH.

“BN tahu ia perlukan sokongan anak muda dan sebab itu mereka cipta Rancangan Transformasi Nasional 2050.

“Saya masih tak nampak tanda-tanda PH menyasarkan anak muda.”